PENDIDIKAN: Budaya Membaca

Saya sempat singgah menjenguk ke perpustakaan mini AEON Mall sebentar tadi. Lain betul suasananya berbanding masa zaman saya sewaktu kecil-kecil dulu. Pengunjungnya jelas tidak seramai dahulu. Sunyi-sepi seakan memahami teori konsep perpustakaan.

Ianya bukanlah sesuatu pemandangan yang indah. Saya berkesempatan menggunakan khidmat carian Google dan mencari sedikit maklumat untuk memahami dengan lebih lanjut senario ini. Saya ingin berkongsi tentang fakta budaya membaca di kalangan kita yang mana:

  • Menurut laporan UNESCO, melalui National, Regional and Global Trends pada 2016, kadar literasi rakyat Malaysia adalah sebanyak 98.4%. Kerajaan meletakkan kadar sebanyak 99% yang hendak dicapai menjelang 2020.
  • Indeks Budaya Dunia 2017 menunjukkan rakyat Malaysia menggunakan masa kurang daripada 5 jam seminggu (sumber:TheStar Online, 9.12.2018) untuk membaca, berbanding India (10.7 jam),Thailand (9.4 jam) dan China (8 jam).
  • Kajian Interim Tabiat Membaca 2014 yang dilaporkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (sumber: Berita Harian, 12.4.2018) mendapati rakyat Malaysia membaca 15 buku setahun. 
  • Kajian yang sama juga menyatakan majalah adalah pilihan rakyat Malaysia iaitu sebanyak 62.8% dan diikuti akhbar (61.2%), buku ilmiah (54.8%), novel dan fiksyen (47%), bacaan dalam talian (46.4%), fiksyen (29.9%), komik (25.3%) dan jurnal (19.9%).

Budaya membaca di kalangan kita masih agak ketinggalan. Tabiat ini makin berkurang bila anak-anak melangkah ke alam universiti. Membaca itu gedung ilmu. Marilah kita berazam untuk belajar menyintai tabiat ini. Antara cara-cara yang boleh dilaksanakan untuk menggalakkan bacaan adalah seperti:

  1. Menganjurkan kelab buku atau santai bersama buku di mana kita memilih satu buku sebagai bacaan dan sediakan waktu tertentu untuk sama-sama membaca dan bersantai serta membincangkan pendapat masing-masing tentang buku yang dibaca.
  2. Menyediakan kawasan dan pustaka buku yang lebih menarik. Tak semestinya perpustakaan itu kena senyap sunyi sepi. Sedikit kecerian dengan berlatarbelakangkan lagu-lagu ilmiah di ruang-ruang tertentu mungkin dapat menarik minat anak-anak membaca.
  3. Pertandingan membaca dan bercerita hendaklah dipergiat dan di tambah dengan elemen menarik dan kreatif untuk menarik minat si cilik.
  4. Sosial media juga boleh membantu menanam minat membaca. Para instafamous, youtubers dan sebagainya sekali-sekala digalakkann mengadakan slot buku menarik dan menyampaikan ulasan secara kreatif dan berinteraksi dengan netizen.
  5. Memperbanyakkan lagi sumber bahan bacaan dalam bentuk e-book dan mengadakan perpustakaan digital bersesuaian dengan trending dan cara hidup zaman serba ‘pintar’ ini.

Arahan dan ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril AS sendiri jelas menekankan betapa penting aspek membaca dalam kehidupan.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan
(QS Al-Alaq; 1)

Islam menganjurkan umatnya membaca untuk mendapat ilmu dan sesungguhnya amal tanpa ilmu adalah suatu kegilaan sedangkan amal tanpa ilmu adalah suatu yang sia-sia. Ianya haruslah seiring, dan orang yang berilmu diangkatkan martabatnya di dalam masyarakat. Marilah membaca kerana banyak kepuasan dan kebahagiaan akan ditemui dengan membaca.

Dunia adalah ibarat sebuah buku, dan mereka yang membaca pastinya sudah mampu menawan dunia.

PENDIDIKAN UMUM: Adab di dalam Kumpulan WhatsApp Sekolah

Ibubapa tahu tak, yang paling guru-guru ‘geruni’ bila mula tahun baru ialah menjadi pengurus kumpulan Whatsapp kelas? Tujuan asalnya memanglah untuk berkongsi perihal sekolah, aktiviti anak-anak dan perkara berbangkit sahaja. Namun, lazimnya, pasti akan ada penyalah-selenggaraan dari pihak-pihak tertentu.

Kumpulan sosial yang diwujudkan bukanlah untuk kepentingan individu. Saya bukanlah nak mengajar ibubapa, tetapi ikhlas nak beri cadangan berkenaan adab ber-Whatsapp.

Sebenarnya, banyak hal dan panjang-lebar penjelasan dan pengalaman yang hendak dikongsikan perihal kumpulan WhatsApp ini. Tapi, mungkin kita cuba faham antara perkara yang harus kita sama-sama renung, ingat, ambil pengajaran dan amalkan. Antaranya:

  • Jangan sentuh isu sensitive melibatkan agama, bangsa, bahasa dan politik. Kita masing-masing mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan berbeza. Hormatilah hak orang lain. Kalau ada pendapat yang pada pandangan kita perlu disanggah ditegur, tegurlah dengan berhemah. Bila sudah ditegur atau sudah kita sampaikan dengan cara paling baik, cubalah untuk menerima pendapat individu lain. Bak kata omputeh ‘agree to disagree’.
  • Bila masuk kandang kambing cubalah mengembek, masuk kandang kerbau menguaklah. Kita semua menjadi contoh tauladan untuk anak-anak kita. Tunjuklah yang baik-baik. Kebolehan untuk mengadaptasi dengan situasi dan sesuatu yang baru adalah satu skil yang mahu kita terapkan pada diri anak-anak kita. Ini salah satu cara yang boleh kita tunjuk untuk menjadi panduan anak-anak.
  • Jangan kritik ibubapa dan pelajar lain. Juga, tolonglah jangan kritik guru-guru di dalam kumpulan yang belum tentu kita kenal semua ahlinya! Ajar anak-anak dan diri kita untuk berhusnuzon, bersangka-baik. Kadangkala, intonasi yang hendak disampaikan oleh seseorang dan kumpulan WhatsApp ini mungkin berbeza. Niat penulis mungkin hanya sekadar memberitahu, tetapi dibacanya kita dalam nada marah. Perkara ini pasti tak membawa apa-apa kebaikan jika dipanjangkan berlebih-lebihan. Yang lebih memburukkan keadaan jika ada antara ibubapa yang hanya mendengar kisah dari satu pihak dan terus membuat kesimpulan sendiri. Kadang-kadang, kita kena saling ingat-mengingati supaya tak salah membuat tafsiran sendiri. Jika ada konflik dan sebagainya, dengarlah kisah dari semua pihak, bukan hanya daripada anak-anak atau satu pihak sahaja.
  • Kumpulan Whatsapp itu bukan tempat luahan rasa kita, bukan untuk membawang. Itu bukan caranya. Kumpulan WhatsApp bukan tempatnya. Jangan sampai nanti kita sendiri yang membuka pekung di dada kita, kita sendiri yang mendedahkan aib dan kejahilan diri sendiri. Kalau ingin berkongsi perkara-perkara tertentu, nilaikanlah terlebih dahulu. Perlukah? Betul dan sahihkah? Benar dan boleh dipercayaikah sumbernya? Bermanfaatkah untuk perkongsian ramai? Fikir sebelum berkongsi, supaya tak menyesal di kemudian hari.
  • Rumpun kita rumpun beradab. Banggalah dengan budaya turun-temurun itu. Jagalah adab. Ingin sekali lagi saya tekankan. Kita cermin tauladan untuk anak-anak. Cantik adab kit, indahlah adab anak-anak.

Hadis Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda, yang bermaksud : “Sesungguhnya ada seorang hamba yang berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dipikirkan bahayanya terlebih dahulu, sehingga membuatnya dilempar ke neraka dengan jarak yang lebih jauh dari pada jarak antara timur dan barat.” (Sahih Muslim)

Juga,untuk renungan bersama : Hadis Abu Hurairah, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia mengganggu tetangganya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam saja.” ( Sahih Bukhari)

Perbetulkan niat kita, untuk kebaikan anak-anak. Jangan pentingkan diri sendiri. Jangan sampai teknologi yang sepatutnya digunakan sebaik mungkin menjadi lubuk dosa tanpa kita sedari.

PENDIDIKAN UMUM: Kuasa Di Hujung Jari, VIRAL!

Kebanyakkan kita sudah sedia maklum berkenaan firman Allah didalam Surah Al-Hujurat and maksudnya:-

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

Manusia atau insan itu sendiri asal katanya dari perkataan na-sii-ya yang bermaksud lupa. Sebanyak mana pun kita mengingati dan diperingatkan, terkadang masih ramai antara kita yang terlepas pandang dan masih ramai jaga yang tidak teringat adab dan tatasusila bermanusia. Malah, ada juga yang faham dan tahu, namun tidak mahu beradab seperti manusia yang sudah Allah kurniakan akal fikiran yang waras.

Kita tidak mampu untuk menongkah arus menolak teknologi yang ada masa kini. Sosial media, dalam banyak yang faham dan jelas keburukan dan permasaalahan yang timbul dek kerana sosial media, masih ramai yang menggunakan dan memerlukannya untuk kehidupan harian. Kita sedia faham, apa-apa perkara sekali pun, yang dibuat berlebihan pastinya akan mendatangkan penyakit. Penyakit itu datang sebagai ujian, sebagai fitnah kehidupan. Perbanyakkanlah ilmu supaya kita tidak terlalu leka membiarkan nafsu beraja dan tergolongan di antara karib musuh kita, si syaitannurrojim.

Kuasa viral di kalangan masyarakat kita kini sudah menjadi-menjadi dewasa ini. Tidak semua berita yang ditular itu membawa kepada keburukan, tetapi umum sendiri dapat menilai betapa banyak khilaf dan salah-faham, persengketaan dan permusuhan, keregangan hubungan hingga terputusnya silaturrahim sesama manusia disebabkan viral. Hanya dengan satu klik di hujung jari kerdil, pelbagai kerosakan yang lahir bila manusia silap menilai.

Fikirlah sewarasnya sebelum kita membuat sesuatu perkara atau keputusan yang akhirnya membawa padah pada diri sendiri. Ianya bukanlah sesuatu yang sukar. Saya ingin berkongsi lima ‘fasa tahu’ yang mungkin dapat membantu kita dalam membuat keputusan dalam menilai perlu atau tidak sesuatu berita atau cerita dijadikan perkongisian umum. Mencegah itu pastinya lebih baik daripada mengubati.

1.Fasa Tidak Tahu

Apabila tiba sesuatu berita ke pengetahuan kita, jangan mudah melatah dan terus mahu menyumpah. Jangan terusan mahu dikongsi segala kisah, atas niat yang salah. Sekurang-kurangnya, bila diberi jalan hidayah mendapat perkhabaran tersebut, telitilah perihal berita itu, adakah ianya berita berbentuk cerita yang memang memerlukan perhatian atau ilmu non-fiksyen yang mungkin hanya untuk segolongan pihak sahaja. Perlu kita faham konteks yang hendak disampaikan supaya mudah kita menyalurkan perkongsian kita di saluran yang betul.

2.Fasa Ambil Tahu


Siasatlah kesahihan berita tersebut. Kajilah sumber dan asal berita itu. Segala kisah pastinya bukan hanya melibatkan satu pihak sahaja. Jika ianya berita berbentuk perkongsian ilmu, siasat sumber dan fakta ilmu yang dikongsi. Boleh jadi yang si penulis pada asalnya hanya sekadar berkongsi buat peringatan dan kenangan diri sendiri, tetapi disalahfahamkan bila yang membaca tidak mahu ambil peduli latarbelakang berita tersebut. Jika ternyata berita yang sampai itu hanya sekadar cereka yang rekaan semata, walaupun cara penceritaannya menarik perhatian pembaca, simpan sahaja berita itu untuk kenangan kita sendiri, tak perlu dikongsi.

3.Fasa Mahu Tahu

Bila terbukti kesahihan berita yang kita terima, nilailah pula adakah perlu untuk kita berkongsi perihal tersebut. Memang sepatutnya perkara bagus dan bermanfaat dikongsikan untuk sama-sama kita mengambil iktibar, peringatan dan panduan untuk meneruskan kehidupan sehari-harian. Namun, jika berita itu, walaupun benar dan sahih sumbernya, fahamkan pula niat dan keperluan untuk berkongsi kisah tersebut. Jika sekadar hanya berkongsi kerana ia tidak membawa sebarang manfaat atau tidak juga membawa mudarat, tak perlulah dikongsikan. Simpan sahaja buat kenangan persendirian.

4.Fasa Perlu Tahu

Kalau ada keperluan untuk kita berkongsi sesuatu berita, kajilah pula audience atau kumpulan yang mungkin akan mendapat manfaat yang lebih daripada perkongisian kita itu. Jangan terus melulu hendak dikongsi pada semua lapisan masyarakat dan dunia. Seringkali, akibat ghairah mengejar share dan like yang banyak, kita terlupa motif asal perkongsian kita itu. Kajilah jika perkongisian itu hanya sekadar renungan dan pengajaran buat kaum kerabat dan kenalan terdekat atau harus umum mengetahui untuk kebaikan atau mengelakkan kemudaratan orang ramai. Niatlah di dalam hati agar perkongsiaan itu menjadi simpanan berguna di kala amal kita dihisab nanti. Ilmu bermanfaatlah antara amal-amal yang tiga yang kita harapkan bila habis nyawa kita di alam kehidupan ini.

5.Fasa Ikut Tahu

Di peringkat ini, kalau salah informasi yang kita kongsi, mungkin jalan penyelesaian adalah memohon maaf dan bertaubat. Jika silap sehinggakan kita hampir atau sudah menganiaya insan lain sebab perkongsian kita, takut nanti banyak masalah yang mendatang. Masalah perhubungan, perundangan dan sebagainya. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sesal dahulu, pendapatan; Sesal kemudian, tiada gunanya

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:  “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah ? maka baginda SAW menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”.

Jauhkanlah diri kita daripada golongan fasik dan menjadi fasik. Jangan buat perkara-perkara yang menjuruskan kita menjadi sebahagian daripada golongan al-Ruwaibhidah. Niatkan semuanya untuk Allah, demi menjaga nama Islam yang suci dan mempertahankan cinta kita pada Rasulullah SAW yang bermati-matian berjuang untuk Islam sampai ke kita. Jangan sampai perkara yang kita kongsikan di media sosial menjadi asbab timbulnya fitnah, ghibah dan pelbagai tohmahan buruk kepada manusia lain dan agama Allah ini.

Moga kita semua diberi kefahaman ilmu dan dapat mengamalkan sebaik mungkin. Dan sama-samalah kita mencuba untuk tahu segala perihal dan aspek sebelum hendak kita kongsikan sesuatu berita. Wallahualam.

Pendidikan: Drama ke Asrama

Saya rasa perlu untuk menitipkan sedikit nota berkenaan pengumuman Menteri Pendidikan berkenaan anak-anak B40 akan diberi keutamaan dalam kemasukan ke sekolah berasrama penuh, SBP.

Sebagai seorang ibu yang kiasu dan mementingkan diri demi untuk memberi pendidikan terbaik buat anak-anak, saya agak ‘gusar’ dengan pengumuman itu. Ramai ibubapa yang ‘merintih’ berkeluh kesah apabila anak-anak mereka yang telah berhempas-pulas menduduki UPSR tahun ini, mendapat keputusan cemerlang 6A atau 5A tetapi tidak terpilih untuk mendapat tempat di SBP. Sebaliknya, kawan-kawan mereka yang hanya mendapat 2A atau 3A yang berjaya menjejaki kaki ke asrama. Adilkah itu? Salahkah anak-anak golongan M40 dan T20 (atau untuk memudahkan bicara, kita gelarkan mereka ‘golongan bangsawan’) dilahirkan di dalam keluarga yang diberi sedikit rezeki dari Ar-Razak? Patutkah ‘dianiaya’ anak-anak yang sudah berusaha sedaya boleh untuk mendapat keputusan cemerlang tetapi tak layak ke SBP kerana latar belakang keluarga mereka?

Saya mula membaca piagam pendidikan negara, falsafah dan objektif SBP.  


Ternyata, tujuan utama SBP ditubuhkan adalah untuk kemudahan yang teratur dan sempurna. Ya, saya sangat bersetuju dengan KPM. Seharusnya, asrama adalah untuk mereka yang layak dan tidak berkemampuan untuk menyediakan pendidikan yang kondusif bagi anak-anak. Persoalannya, adakah anak-anak yang terpilih itu LAYAK? Jika benar, apakah sebenarnya KELAYAKAN yang diletakkan sebagai batu pengukur? Saya akui, anak-anak di bawah B40 seharusnya diberikan keutamaan untuk terpilih ke SBP jika keputusan mereka secemerlang kawan-kawan mereka yang datang dari golongan bangsawan. Saya juga setuju yang kelonggaran dari segi keputusan akademi harus diberi pertimbangan dimana pencapaian anak-anak B40 yang mendapat 4A mungkin sama taraf dengan dengan anak-anak golongan bangsawan yang mendapat 6A. Ini kerana, mungkin anak-anak B40 tidak mampu mendapat pendidikan tambahan dan keputusan yang mereka capai semata-mata datang dari hasil usaha mereka tanpa kelas tambahan atau sebagainya. Namun, wajarkah mereka yang mendapat 2A atau 3A diberi tempat ke SBP berbanding kawan-kawan mereka yang mendapat 5A atau 6A? Maaf, saya mungkin tidak sensitif dalam membicarakan perihal ini, tetapi saya masih belum jelas dengan objektif keseluruhan yang hendak KPM capai.

Jika anak-anak B40 yang mendapat 2A atau 3A ini terpilih, mampukah mereka mengadaptasi sebaik mungkin cara pembelajaran di asrama? Atau akan merundumkan keputusan pelajar-pelajar SBP disebabkan kemampuan mereka yang ada batasnya? Saya bukan hendak mencabar atau memandang rendah anak-anak ini. Saya percaya pendidikan adalah untuk semua, terutama sekali pendidikan yang lengkap dan terbaik, wajib menjadi hak buat semua anak-anak tak kira bangsa, agama dan kedudukan sosio-ekonomi keluarga. Itulah yang sepatutnya KPM titik-beratkan buat masa ini. Sekolah kluster, sekolah integrasi dan sebagainya tidak sepatutnya diwujudkan. Semua sekolah sepatutnya mendapat kemudahan dan sokongan yang sama. Semua sekolah patut menjadi sekolah kluster, sekolah intergrasi dan sebagainya. Mungkin dengan itu, tidak ralat untuk ibu bapa mendaftarkan anak-anak ke sekolah harian.

Bukan salah anak-anak dilahirkan dalam golongan bangsawan. Bukan salah anak-anak terpilih ke asrama kerana kedudukan sosio-ekonomi keluarga. Semuanya ada peranan masing-masing. Sekolah adalah tempat menimba ilmu. Sekolah yang lengkap kemudahannya dan yang bagus tenaga pengajarnya pastinya akan melahirkan pelajar-pelajar hebat. Cuma mungkin KPM ingin menilai semula objektif SBP. Mengapa hanya sekolah berasrama penuh sahaja yang mendapat fokus kemudahan teratur dan sempurna? Mengapa tidak sekolah harian juga? Dan mungkin KPM juga ingin mengkaji semula kelayakan anak-anak yang terpilih yang seharusnya fokus bukan sahaja pada pendapatan keluarga, juga keputusan yang kalau tak cemerlang pun, sekurang-kurangnya setara dengan keputusan yang cemerlang. Kalau mendapat 2A untuk pemahaman dan penulisan sedangkan matapelajaran sains dan matematik tidak cemerlang, tetapi terpilih untuk ke sekolah sains, mampukah anak-anak itu?

Panjang lebar berceloteh. Ada juga terfikir, patutkah saya mengisytiharkan kami sebagai tiada pendapatan supaya kami tergolong dalam golongan B40.

Wallahualam