Puisi: Perginya Adib

Sebak sungguh kematian si wira bomba,
Yang nikahnya dirancang esok lusa,
Yang bertarung hingga ke hujung nyawa.

Satu-satu keluar cerita Adib, 
Cerita indah yang tiada aib,
Itu janji Allah, tiada yang ajaib.

Setiap kali posting kisahnya,
Setiap itulah rasa sebak di dada,
Setiap bacaan diiringi doa.

Tapi, saya mahu mati sebegini,
Pengakhiran dunia yang indah bertemu Ilahi,
Yang tak putus orang memuji,
Bukan setakat orang yang mengenali,
Yang asing, yang dekat, hingga ke mufti,
Menyebut-nyebut adab dan budi.

Allahummagfirlahu warhamhu wa’afini wa’fuanhu.

– ع says – 19.12.18 –

Puisi: Ceritakan Pada Dia

Nabi Yaakub menangis meratapi
Mengenang apalah nasib diri
Si Yusuf kecil ditinggal pergi
Berdosakah dia seorang Nabi
patutkah dia terus menyesali?

Jangan pantas menuduh mencaci
Dialah bapa dialah Nabi
Tangisnya bukan tak meredhai
Cuma meluah rindu di hati
Kepada Yang Satu Pemilik Arasy

Ingatlah wahai hati yang sepi
Bila perit yang hendak dilalui
Usah di luah di hujung jari
Ajaklah minda memencil diri
Luahkan segala pada Ya Rabbi

– ع says – 18.12.18 –

Puisi: Bab 1 – Takut kepada الله

Bab 1: Takut kepada الله

Kau akui kau mukmin,
sudah kau imani seiman Nabi?
Kau terus membidas,
‘Aku hamba, bukan Nabi’,
Apa kau lupa firman Maha Pencipta,
Nabi juga golongan manusia?

Kau takut Yang Maha Menghukum,
LISANmu masih menyebar fitnah berbual kosong;
Kau takut Yang Maha Pembalas,
HATImu masih dengki bermusuh;
Kau takut Yang Maha Mengetahui,
MATAmu masih terpaut yang haram;
Kau takut Yang Maha Pemaksa,
PERUTmu masih menyuap syubahah;
Kau takut Yang Maha Megah,
TANGANmu masih belum beradab;
Kau takut Yang Maha Merajai,
LANGHKAHmu masih salah destinasi;
Kau takut Yang Maha Adil,
TAATmu masih bukan redhaNya;

Siapa sebenarnya yang engkau takuti,
Ditinggalkan dunia atau dikejar mati?

– ع says – 15.12.18 –
*inspired from mukasyafah al qulub, penenang jiwa

Puisi: Wanita

Wanita cantik itu;
yang sibuk memperbaiki diri daripada tak putus mengeluh,
yang masih tersenyum walaupun robek emosi hati, 
yang lembuh tuturnya, halus akhlaknya
Wanita cantik itu yang indah perwatakannya, sejuk mata memandang. 

Wanita kuat itu;
makin dewasa, dimamah usia;
dibiar sepi, mencari-cari;
mana tawa, mana senda;
makin dikejar, semakin tawar;
lelah mencari, kembali sendiri;
dalam riuh, di ruang yang penuh;

Wanita itu berseorang,
senyum gemilang,
cekal tak hilang,
gigih berjuang,
agar peluang,
singgah mendatang, 
mengharap gersang,
berlalu bersama petang,
supaya ringan malam yang panjang;

– ع says – 15.12.18 –

ain’s copywriting for Wirdora

Puisi: Keliru

Keliru

Entahlah, mereka atau aku
Bila hilang di mata, bernista menipu
Angkuh menuduh ini itu
Ntahkan sahih ntahkan tidak, tak tahu
Lancar meluah bertalu-talu
Bila bersua mula kaku
Diajak bicara katanya tak mahu
Belum pergi berundur lalu
Terus sakanya diseru
Mula meroyan menjerit sekuat mampu

Dan aku,
masih tak tahu
sebab mereka masih membisu
katanya mengungkit itu tak perlu
tapi mereka yang pendek akal itu
lupa, yang mengungkit, bukan ke mereka dulu?

– ع says – 9.12.18 –