CERPEN: Raya mana tahun ni?

‘Raya turn siapa tahun ni?’

Dia memberi senyuman paling manis sebagai jawapan untuk soalan itu. Jauh, dalam hatinya, dia menangis teresak-esak. Berhari-harian, bermalam-malaman.

Sejak berkahwin, raya mana tak pernah menjadi persoalan sukar untuk dijawabnya. Memang sebelum kahwin, sudah termeterai akurnya kedua pasangan, tahun pertama di rumah keluarga suami, tahun kedua di rumah keluarga dan berikutnya. Ada sekali dua, si suami terpaksa bekerja di tengah laut ketika raya, bahagialah dia dapat berpuasa beraya di rumah ayahbondanya tanpa mengira giliran siapa.

Tahun lepas, mereka beraya bersama keluarga suaminya di pantai timur. Tahun ini, seharusnya bersama keluarganya. Tapi itu kalau ikut apa yang diharapkannya.

Suaminya bukan seorang diktator. Dia boleh dibawa berbincang dan bertoleransi orangnya. Raya tahun ni pun, kalau si isteri mahu, boleh saja beraya di rumah mertua.

‘Takpelah bang, kita beraya di Kemaman saja. Raya kat KL pun, kalau kita dipulaukan oleh adik-beradik, sepupu-sepapat sendiri pun, dah macam tak raya je.’

Abah mama masih sihat, Alhamdulillah. Ingin sekali dia berpeluang mencium tangan abah mama seawal pagi raya, memohon ampun maaf atas segala laku, kata dan segala sikapnya yang sedar atau tidak membuat abah mama terguris jiwa.

Dulu, abah mama sumbernya ke pintu syurga. Syurga abadi dan syurga dunia. Semua yang dia mahu, malah sering juga tanpa dipintanya,mereka penuhi dan mereka lengkapi.

Sekarang, dah berkeluarga, bersuami, beranak tiga, wali hak pastinya si suami. Dia nak kejar redha Allah, syurga untuk si solehah. Lepas redha Allah, ikut pesan Nabi SAW, taat suami, solat puasa; Insyaallah pilihlah mana-mana pintu syurgapun, itu janji Allah. Itu yang dia dambakan. ‘Life goal’ kata orang sekarang.

Si adik, sepupu-sepapat marahkan dia. Entah marahkan dia sebab akur pada si suami, entah marahkan suami sebab kasar berbahasa, entah marahkan dia sebab tak seteru dengan mereka; dia cuba bertanya, bukan sekali dua. Setiap kali dia mencuba bertanya untuk mendapat jawapan pasti, setiap kali itu dia diherdik dan dimaki sepelaung kuatnya suara. Dia bukan jenis wanita bersopan lembut dan senyap bila diherdik. Tinggi suara si pengherdik, tinggi lagi frekuensi suara yang dilantunnya. Tak pernah berjaya untuk dia mendapat jawapan. Setiap persoalan pasti berakhir dengan herdikan dan jeritan.

Hingga habis hayat pakciknya, dia dan suami tak dijemput bertahlil. Malah, si makcik bangga mengaku dia bukan anak saudaranya lagi.

Si adik menjamu abah, mama dan adik bongsunya di restoran berdekatan kawasan rumahnya, bangga berkongsi gambar kegembiraan bersama. Mungkin dia lupa hendak mengajak kami sekeluarga. Mungkin dia tak berharap saya melihat setiap Instastory yang dikongsinya. Mungkin dia mahu saya tahu saya bukan lagi ahli keluarga mereka. Terlalu banyak kemungkinan berlegar di benak mindanya.

Kenduri ‘pre-ramadhan’ di rumah nenek beramai-ramai pun tidak menginginkan hadirnya mereka lima beranak. Cukup sekadar dikongsi segala gambar di sosial media. Jelas dia rindu setiap satu lauk-pauk yang terhidang, jelas dia sayu melihat semua sanak ada berkumpul, jelas dia pilu mendapat tahu mereka memang tidak malu mengaku mereka yang memutuskan ikatan yang datangnya dari Dia.

‘Raya turn mana tahun ni?’

Senyum lagi.

Kali ini dia gagahi, ‘Raya tempat mana orang nak terima kitalah kak. Orang tak sudi, takkan kita bak sorong muka ni. Kita pun nampak dalam cermin hari-hari, hidung memang tak mancung tara mana pun. Alhamdulillah, masih ada yang nak berkakakkan saya. Cuma bukan di tempat sendiri.’

PUISI: Yang Paling Mudah

Si gelandangan itu tak pernah kita ambil peduli,

Makan pakainya tak mahu kita menyibukkan diri,

Tidur mandinya bukan masalah perlu kita gusari,

Entahkah gila entahkan waras itu lebih mengganggu hati,

Yang paling mudah, lebih baik jangan didekati.

Si remaja berkumpulan mewah menghembus ganja,

DI hujung malam masih segar gelak ketawa,

Tak risaukah si ibu, tak mencarikah si bapa?

Sekolah ke mana, terdidikkah mereka?

Yang paling mudah, lebih baik jangan kita berbicara.

Si pengemis buta meminta-minta wang saku,

Dengan herdikan, kita halau tak membantu,

Tidak diberi, mereka membatu,

Kalau diberi, disuruh kerja mereka tak mahu,

Yang paling mudah, lebih baik jangan dibantu.

Si bapa fakir memohon bantuan,

Anak yang lapan sudah kelaparan,

Yang kita balas hanya tohmahan,

Kenapa melahirkan bila tak berkemampuan,

Yang paling mudah, lebik baik jangan kita galakkan.

Itukah kita sebenarnya manusia?

Asyik melabel tak mahu bertanya.

Itukah kita yang namanya insan?

Terus menghukum tanpa perbicaraan.

Itukah kita yang namanya Islam?

Sanggup membisu dari menyampaikan salam.

Itukah kita yang namanya beriman?

Kuat mencela tak takut Tuhan.

Si gelandangan itu lebih tinggi di sisi Al ‘Ala dari kamu yang pentingkan diri,

Remaja itu lebih terbentuk di sisi Al-Musawwir  dari kamu yang menghukum tanpa bukti,

Si pengemis buta itu lebih nampak di sisi Al-Basir dari kamu yang bermata tak berhati,

Si bapa fakir itu itu lebih rezekinya di sisi Ar-Razzaq dari kamu yang sombong tak berperi.

Berhentilah menghina mencaci, persiapkanlah diri,

Di hadapan Al-Muluk, bersedialah memohon simpati,

Biarpun sudah dipesanNya berkali-kali,

Tahulah kesudahan kamu, janjiNya pasti.

says ع
Image result for humanity

PUISI: INSAN

nun.sin.ya - yang lupa
itu kita, itu datangnya nama kita,
dan terus kita leka,
membiarkan segala yang kita lupa,
atau buat-buat lupa,
hingga nyata sanggup terus kita lupa, 
di dalam insan itu, ada jiwa. 

tergamak kita tak bertegur-sapa, 
hanya semata pendapat tak serupa,
persetankan segala firman dan sabda, 
biarpun nyata salahnya kita. 

sanggup kita mencaci mencela, 
si anu kini sudah menjanda, 
biar padan dengan muka, 
terlalu asik kejar dunia, 
entahkan solat entahkan lupa, 
sedap bahasa kita meneka.

melihat si fakir meminta-minta, 
terus kita meletak wasangka, 
kudratnya ada, malas berkerja, 
terus dicemuh dihalau dihina.

tajam sungguh jelingan mata, 
melihat sekumpulan anak remaja, 
tak henti merokok mencemar udara, 
bercampur gaul uda dan dara, 
tanpa segan tanpa batasnya, 
tak risaukah ayah ibu di rumah sana, 
tak pandai mengajar anak mereka.

yang kita lupa, 
silaturrahim memanjangkan nyawa, 
yang menjanda sudah takdirnya, 
si fakir meminta apa haknya, 
kurang kasih meliarlah remaja, 
ayah ibu tak henti berharap berdoa. 

yang kita lupa, 
takbur kita tak akur hukum Yang Esa,
sombong kita yang buruk sangka, 
tamak kita sesama manusia, 
angkuh kita tak mahu menegur-sapa.
bodoh kita kuat menduga.

sebelum nyawa dijemput Tuannya, 
sebelum mentari dibarat terbitnya, 
sebelum berbunyi sang sangkakala,
ubah lah kita..
sentiasa beringat lemahnya kita, 
yang selalu lupa teruslah berjaga, 
jangan sampai kita terleka.

SEKADAR MENULIS: Mimpi

Terlena sebentar di atas sofa usang ruang tamu itu. Dek sejuk hawa dingin, terus lena dibuai mimpi.

Hebat gaya profesional mengejar bola kecil itu dengan kayu hoki Grays kesayangan. Dia bukannya pemain hebat, Cukup sekadar mempertahan benteng dari ditelusuri lawan.Kali ini, peluang di depan mata. Entah bagaimana termampu dibawanya bola hingga ke gawang lawan. Dihayun kuat menghentam bola, terus menembusi pintu gol yang tersedia. Kehebatannya mengejutkan dia sehingga berdebar-debar denyutan dada.

Indah mimpi itu hingga terus dia berinspirasi. Mimpi yang pasti tak menjadi kenyataan sebab dia tahu lemah dah mampunya. Cukup sekadar mimpi di siang hari, ianya tetap indah.

Hari ini, dia terlalu letih. Terlalu jauh digagahi cita-citanya. Dia mencuba. Berputus harap, mungkin tidak. Cuma dia mahu berehat sebentar. Lama mana sebentarnya, dia sendiri masih mencari. Dia ingin berada di dalam mimpinya. Lari dari keselesaan yang dilakukan seharian, gigih tak hiraukan segala yang mendatang, terus skor ke jaringan kejayaan. Kalaulah hidup seindah mimpi.

Agama melarang memanjangkan angan, agama juga menyuruh bersangka baik. Melayu mencabar kalau kail sejengkal jangan di duga, melayu juga mengajar kalau tak pecahkan rebung manakan dapat sagunya.

Berehatlah.

Setelah lelah mencuba.

Tapi jangan berputus harap.

Yang baik itu ada menunggu.

Yang buta itu diri sendiri.

Janji Tuhan tak pernah buruk.

Dia lebih tahu mana baik untuk hambaNya.

Cukup sekadar sabar, syukur dan tingkatkan usaha dengan iman.

Insyaallah, sampai nanti di sana.

CERPEN: Sakit Percuma

Lama dok renung skrin komputer ni. Banyak sangat ayat-ayat dan jalan cerita penuh dramatis yang kutitipkan dalam minda, satu-satu, jelas susun atur katanya…tapi hanya diminda, tak terluah bila mula terpampang skrin putih depan mata ni. Aku ni, jenis banyak cakapnya, macam-macam cerita aku nak sampaikan… Tapi, pagi ni, semua membatu menyepi…  sebab tak tahu mana nak mula ke, atau sebab nak kena guna bahasa indah penuh puitis ke atas sebab terlalu banyak benda hendak diceritakan… Masa Jas pelawa nak ajak tulis buku, berkongsi pengalaman untuk motivasi wanita-wanita yang di luar sana, rasa teruja yang amat sangat… Al-maklumlah, angan-angan nak tulis buku ni memang dah terlalu lama tersimpan…. Tapi, memang rasa macam tak logik le.. Paling terer pun, update cerita dalam blog. Itu pun, kekadang, macam payah je. Alhamdullillah, Allah bagi buka jalan melalui kawan-kawan yang baik-baik, yang tinggi motivasinya, yang hebat-hebat jadi inspirasi. Maka dengan itu, disini mulanya suatu cerita, sekadar berkongsi… sebab, orang cakap, pengalaman mengajar kita menjadi dewasa, cuma kita lupa, shortcut nak belajar menuju dewasa ni ialah melalui pengalaman orang lain yang buat salah dan belajar dan kita peringat diri kita untuk tidak buat salah yang sama.

Bismillahirrohmanirrohim. Moga, yang hendak kukongsikan ini, menjadi manfaat buat kalian yang membaca. Insyaallah. 

        Bulan sepuluh tahun lepas, dengan  belas Allah digenapkanNya umurku menjadi 40 tahun. Omputeh cakap, life begins at 40. Quran & hadis banyak peringatkan kita, umur 40 puluh ni umur penentu.

 ‘Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu/berserah diri).’
(Al-Ahqaf [ 46 ] : 15)

        Subhanallah, kajian saintifik hasil analisis ahlinya sudah berjaya membuktikan pada umur 40 tahunlah, umur yang otak akal dan minda manusia sudah menjadi matang dalam pelbagai aspek. Nabi SAW dah lama mentarbiahkan perihal ini 1400 tahun yang lalu.

        Kalau dalam bahasa kita sehari-harian, ayat Allah ni dah jelas dah. Bila sampai 40 tahun, banyak dah nikmat Allah kurniakan pada kita, harus kita tetap bersyukur. Macammana? Beramallah, jadi baik! Bertaubatlah! Tak, bukannya masuk umur 40 tahun ni, terus kena jadi penghufaz dan ustazah. Bukannya msuk umur 40 tahun ni, kene berhenti ‘kejar’ dunia. Islam itu bersederhana. Islam itu menyeru kepada kejayaan, dunia akhirat. Berjaya dunia itu rezeki yang kita nak simpan untuk akhirat. Berjaya akhirat itu bahagia.

        Sebenarnya, kalau nak ikutkan kalendar hijriyah, aku genap 40 tahun pada 2 tahun 3 bulan lepas (1437H). Alhamdullillah, sebelum masuk umur 40, Allah ‘kejutkan’ aku dengan khabar dari Dr Yeo, Pakar Hidung Telinga dan Tekak di Prince Court Medical Center.

        Dalam pertengahan tahun 2013, ada bonjolan di bawah leher kananku. Asalnya, bonjolan itu sangat kecil, dari bulan ke bulan, minggu ke minggu hinggalah bawa hari ke hari, bonjolon semakin membesar, lebih kurang 5mm diameternya. Ianya taklah merisaukan aku, sebab rambutku yang panjang menutupi leherku dan bonjolan itu tidak begitu ketara kelihatan dengan mata kasar. Tambahan pula, memang tiada rasa sakit pun. Adalah sekali dua aku pergi menjenguk doktor klinik panel, dan setiap kali itulah diberinya aku ubat antibiotic, ‘mungkin infection,’ katanya. Cuma bila ada yang berpesan, kalau habis ubat yang diberi, tapi masih tak surut bonjolan itu, kena terus pergi jumpa doktor pakar, takut kemungkinannya kelenjar tiroid yang dijangkiti tu dah kritikal.  Kubiarkan bengkak di leher itu membesar, tak menghiraukan pesan doktor klinik. Dalam masa tujuh bulan itu, adalah terkadang, batuk tak henti-henti, hingga keluar setitis dua darah. Terkadang, ada juga darah keluar dari hidung. Tapi, sebab aku tahu habit aku yang memang tak pernah amalkan minum air suam, maka aku yakin hidung berdarah itu adalah kerana cuaca terik sahaja. Pada ulangtahun perkahwinan kami yang keenam tahun itu, suamiku menghadiahkan tiket konsert ronk Linkin Park di Stadium Bukit Jalil, dan keesokan harinya, suaraku serak hingga tak dapat bersuara. Seminggu dua juga ianya berlarutan, dan sangkaku adalah kerana rancak sungguh aku menjerit menyanyi bersorak di konsert itu.

Hinggalah pada akhir bulan October, aku gagahi untuk pergi semula ke klinik panel yang menjadi kebiasaanku, itupun setelah ‘diarahkan’ berkali-kali oleh kakak iparku yang juga seorang doktor di Terengganu. Dr Ananth menampakkan kerisauaunnya bila didapatinya tiada perubahan pada bonjonlan itu, walau sudah berbulan-bulan, malah makin membesar adanya. Terus dinasihatinya aku untuk terus pergi berjumpa doktor pakar di Gleneageagles Hospital. Aku yakin, dengan kepakaran yang dia ada, Dr Koh pasti dapat membantu memberi rawatan yang dapat ‘menghilangkan’ bonjolan itu. Dr Koh memberikan ubat antibiotik, mahal harganya, pasti hebat kesannya. Selepas seminggu, selepas habis semua ubat kutelan, bonjolan tak berkurang, malah bertambah besarnya.

Terus Dr Koh tuliskan sepucuk surat, “you need to go and see Dr Yeoh in PCMC. He’s a surgeon specializing in ENT.”

        Sebenarnya, waktu itu, aku hanya kebingungan. Kene bedah ke? Bukan sakit pun. Takkan takde ubat nak kasi reda bengkak ni? Banyak betul persoalan di kepala, tapi kucekalkan juga hati, pergi berjumpa Dr Yeoh. Aku ingat lagi riak Dr Yeoh waktu dia menelaah apa yang ditulis Dr Koh. Diperiksanya bonjolan itu, dan terus dia tanya bila masa sesuai untuk aku datang semula untuk pemeriksaan.

“We need to do a biopsy. We’re going the perform a minor Fine Needle Aspiration test. It would take just half an hour and the result will be in a week time.”

Aku sangat ‘clueless’. Fine Needle Aspiration (FNA) test? Hmmmm…ok, Mr Google mana?

        Aku kembali ke hospital dua hari kemudiannya. Seharian di sana menjalani pelbagai ujian; ujian darah, CT-scan, X-ray dan FNA. Waktu ujian dijalankan, suamiku masih di lautan, mencari sesuap rezeki, berkerja di pelantar minyak seperti rutinnya. Selepas dua minggu, aku dan suamiku pergi berjumpa Doktor Yeoh untuk mendapatkan segala keputusan itu. Sungguh, waktu itu, aku yakin ianya tidak begitu serius. Aku tahu keputusan sudah keluar seminggu selepas semua prosedur dijalankan, dan aku tak menerima apa-apa panggilan dari hospital, pastinya tiada khabar penting yang membimbangkan yang harus mereka khabarkan. Jika tidak, manakan mereka mampu menunggu selama dua minggu untuk menyampaikan sebarang perkhabaran duka.

        Selepas sejam menunggu, kami dipanggil jururawat cilik masuk berjumpa Doktor Yeoh. Dia senyum manis, menghulurkan tangannya kepada aku dan suami. Dijemputnya kami duduk, dan terus diambilnya kamera kecilnya terus masuk menusuki hidungku. Sambil itu, terus disampaikan keputusan ujian yang ada di tangannya.

“It’s malignant, at the nasopharynx. Here, let me show you,” lalu ditunjuknya kepada suamiku skrin monitor yang memaparkan bahagian dalam hidung ku (yang kurasakan terlalu hampir di anak tekakku).

        Tergumam! Kami masing-masing kelu, berpandangan sesame sendiri, tak perlu sepatah perkataan. Aku kebingungan, dan suamiku, yang pastinya lebih faham perihal terma ‘malignant’. ‘nasopharynx’, hanya memandang skrin.

“It’s malignant cancer cell, but rest assured, we can get it treated. I’m not the best person to talk about it, so, I’ve set up a meeting for you with the oncologist,” ujarnya menamatkan pertemua singkat yang menusuk ke jiwa kami waktu itu.

        Aku masih bingung. Suamiku mula bertanyakan pelbagai soalan bertalu-talu, dan dari segala soalannya, aku mula faham sedikit demi sedikit. Yang pastinya, perkataan baru yang aku baru pelajari ‘oncologist’ pastinya akan menjadi satu kebiasaan buatku selepas itu.

        Pejabat onkologi itu hanya di hadapan pejabat Doktor Yeoh. Kami gagahi enam tujuh langkah pergi ke tempat menunggu. Ada dua tiga orang sedang menunggu giliran mereka. Sama seperti kami, mereka nampak muram. Sekurang-kurangnya, itu yang aku fikirkan waktu itu, walaupun mereka senyum padaku. Aku yakin, seperti kami, mereka juga tertanya-tanya, sakit kanser apalah yang dihadapinya? Aku masih tak mampu hendak bercerita perasaan aku waktu itu, walaupun aku sedang bercerita sekarang ini, selepas empat tahun. Cukup untuk kugambarkan, airmataku masih bertakung di kelopak mata, menahan sebak mengingatkan perasaan aku di kala itu.

        Kalau sesetengah orang, mungkin ada yang bertanya, ‘apa dosaku diduga begini?’. Tapi bukan aku. Aku tahu aku terlalu banyak dosa, tapi, betapa hitamnya hati aku kala itu,aku lebih risaukan kehidupan mendatang perihal anak-anak, perihal kerja daripada mengenangkan masih sempatkah aku bertaubat. Sepanjang menantikan nama dipanggil, aku hanya membatu. Suamiku dari tadi sibuk dengan telefonnya, mencari maklumat segala macam bentuk maklumat yang ada sementara menunggu. Aku, hilang, entah ke mana.

        Lama kami di bilik Doktor Azrif. Satu-persatu dia terangkan semua perkara, dan soalan demi soalan kami lontarkan. Yang banyak bertanya pastinya suamiku. Aku hanya mendengar. Aku masih ingat betapa jelas dan terang pendengaranku waktu itu. Satu nikmat Allah yang tak pernah aku syukuri. Malah, hampir terlupa aku betapa besar rezeki mendengar yang Allah nikmatkan kepadaku.

Di dalam bilik itu, kami dengar Doktor Azrif memperjelaskan segala,”cancer ni dah stage 3. Kalau tengok petscan ni, boleh nampak its position dekat juga dengan brain stem punya area, tapi, tak sampai lagi. Untuk treatment, I’m proposing chemo cisplatin 8 cycle and xeloda 3 cycle, and 33 times tomography.”

 “Bila kena mula, doktor?” soalku.

Rabu ni, okay?” jawabnya tanpa berlengah.

        Aku masih di awang-awangan. Baru pagi tadi jumpa Doktor Yeoh ambil keputusan biopsi. Tak sampai dua tiga jam, Doktor Azrif dah suruh buat kimo terus esok lusa. Aku masih tak tahu apa yang aku rasa dan fikir waktu itu. Banyak sungguh aku dengar pasal kimoterapi dan kesan sampingannya. Tadi pun, Dr Azrif ada terangkan. Katanya dalam lima tahun tu, dah boleh ‘macam biasa’ dah, tapi, ikutlah tahap ‘kuat’ seseorang itu.

        Waktu itu, yang aku ingat cuma satu. Harijadi Aidan, anak sulungku. Sudah berbulan aku rancangkan dengan kad jemputan, dengan sewa gelanggang, dengan tempahan kek dan goodies, dengan banner ucapan.

Terus aku suarakan ‘masalah yang lebih besar’ itu, “Doktor, boleh tak mula Isnin depan? Sabtu ni kami nak sambut harijadi anak sulung kami di Sports Planet. Dah lama merancang. Dia nak main futsal dengan kawan-kawan dia.” Dr Azrif mengangguk akur.

        Hari minggu itu, meriah Sport Planet Ampang. Riuh dengan sanak-saudara dan rakan-taulan. Semua datang untuk meraikan, walaupun hakikatnya, mereka datang untuk aku. Mertua dan ipar-duaiku dari Kemaman, Kuala Terengganu dan Kota Baru semuanya hadir bermalam di rumah.

        Keluarga. Aku masih ingat lagi abah tak bersuara bila aku menelefon dan memberitahu dia khabar dari klinik Dr Yeoh. Pada adik dan sepupuku, aku hanya hantar mesej WhatsApp. Lama tunggu mereka membalas, mungkin tergamam mendapat berita. Suamiku terus menelefon abangnya, doktor pakar usus di Hospital Kota Baru.

        Apa mereka rasa? Mereka tak pernah ungkapkan satu-persatu. Aku tak perlukan ungkan satu-persatu dari mereka. Cukup dengan segala reaksi yang terlalu amat baik mereka lemparkan untukku, jelas mempamerkan kerisauan dan kasih mereka kepadaku.

        Abang tak henti meyakinkan ‘kita boleh sembuh’. Suami yang setia, tabah dan kuat, tunjang aku untuk terus bernafas. Hatinya gundah. Rutin kerjanya di offshore waktu itu tidak membantu untuk kebersamaan sepanjang rawatan intensifku. Tapi, kami tahu Allah sayang kami. Alhamdullilah, waktu itu abang dah tak lagi bekerja di perairan Brazil; ‘kalau apa-apa jadi’, sempatlah dia pulang ke rumah dalam masa 24 jam.

        Hari pertama kimo, seharian dari pagi ke petang, abang duduk berlegar di ruang hospital. Entah apa yang dibuat untuk menghabiskan masa, aku tidak tahu. Aku hanya ingat aku banyak tidur sepanjang rawatan.

        Nak cerita tentang rawatan yang aku lalui, memang takkan habislah. Masa kali pertama buat kimo, aku tertipu. Aku segar dan sihat, tidak seperti yang kami gambarkan. Aku yakin ubat kimo ini ‘sesuai’ denganku. Hinggalah lewat malam dan keesokkan harinya. Kesan kimo itu satu-persatu mempamirkan belangnya. Rasa seperti seluruh anggota badan, setiap ruang setiap inci setiap ruas, bagai dibalut dengan getah plastic yang amat kuat memeluk badan. Lenguh sakit segala macam rasa yang sukar hendak kugambarkan. Belum sempat hilang rasa lenguh dipeluk diikat, mulalah isi di dalam badan meronta-ronta ingin keluar. Sepuluh lima belas minit sekali, rasa mual menolak keluar segala benda dan angin di dalam badan. ‘Uwek, uwek’, muntah tak habis-habis. Hingga sudah tiada isi hendak kumuntahkan, rasa itu tetap istiqomah minta dimuntahkan. Batuk, perit tekak, kehausan dan semua rasa datang menderu. Kepala kekadang berpusing, kekadang berdenyut hingga hampir mahu meletup, dan selalunya hanya hanyut sendirian di pembaringan. Dari malam ke siang bawa ke malam, rasa itu sajalah peneman diri.

        Leka aku dengan sakit. Aku ingat lagi minggu kedua rawatan, abang mula berbunyi, “Pakailah tudung. Belajar tutup aurat! Abang bukan selalu dapat teman Manje pergi jumpa Doktor Azrif tu. Doktor tu udahlah kacak, kang dibelai diusap Manje tu masa Abang takde, dah jadi fitnah pulak kang.”

        Bingit telinga aku mendengar tarbiah suamiku itu, terus aku mengherdik, “Abang ni kan, Manje dah nak mati pun Abang nak jeles tak bertempat tau! Bagilah Manje settle berubat semua dulu. Abang doalah Manje dapat hidayah kasi Allah ikhlaskan Manje nak tutup aurat. Manje nak berubat, nak sihat, bukan nak mengurat doktor tu! Banyaklah dosa nak kena taubat. Sekarang ni pun mesti yang ramai happy sebab Manje sakit. Memang Allah nak tunjuk kat Manje. Bagilah Manje taubat, cuba jaga solat yang banyak Manje tinggalkan tu. Solat pun entah ke mana, terus nak pakai tudung. Nanti kang, adalah mulut-mulut yang cakap ‘dah nak mati baru nak tobat!’

        “Heran apa orang cakap? Baguslah bila dah nak mati baru nak taubat daripada dah dapat death warrant dari Allah ni pun, masih tak nak insaf-insaf! Itu masalah! Dah 9 tahun kita kahwin, selama tu Manje tak tutup aurat, selama tu Abang tanggung semua dosa Manje. Amal Abang pun tak cukup. Allah duga Manje sakit ni, bukan untuk Manje sorang. Untuk kita, untuk Abang, untuk Manje. Sakit kita ni nak jadi kifarah, supaya kita diampun dosa. Jangan sia-siakan sakit yang Allah bagi ni. Jangan biar sakit ni sakit free je! Tutup aurat. Lepas tu kita jaga solat dan belajar balik semua satu-satu.” Tinggi suaranya kali ini, tegas memperjelaskan itu arahan, bukan permintaan.

        Waktu itu, rasa memberontakku makin kuat. Keras sungguh hatiku. Allah gelapkan pandangan kalbu. Aku tak Nampak sakit ku itu pencuci dosa. Yang aku persoalkan, kenapa perempuan kena akur pada perintah suami, tambahan pula suami yang tak mahu memikirkan kesedihan isteri yang sedang dilanda sakit kritikal di kala itu. Ye, sungguh dangkal pemikiranku waktu itu. Tidak kunampak betapa kasih Allah padaku, sudah dihantar ujian sakit untuk mencuci dosa, dihantar pula insan bernama suami yang memang mahu tidak mahu, tahu dosaku dia yang galas. Kuat sungguh syaitan merasuk di dalam diri ini. Sudah hampir tiga dekad bertapak mengalir di setiap pelusuk darah dan saraf, hingga mendapat khabar kematian, masih aku fikirkan dunia.

        Buat yang membaca, ada sebabnya agama memberi hak kita, si isteri, kepada si suami. Ye, suami kita pasti tidak seinci pun hampir dengan sanjungan kita Rasulullah SAW, tapi, kita juga tak pernah hirau nak menjenguk mengapa Khadijah RA, si janda kaya yang tua itu, boleh bertemu jodoh dengan si pekerja muda yang kacak jujur itu.  Ye, kita belajar tinggi hingga ke universiti, luar negara lagi tu, jangan persoal, mengapa kita tidak ada hak membuat keputusan untuk diri kita bila kita sudah bersuami? Itu soalan syaitan. Suami itu manusia juga. Cemburu dia sama cemburu kita, mungkin cara yang berbeza. Dosa dia tak sama dosa kita, dosa kita kepada dia, dosa dia terus dibawa mengadap Yang Maha Esa.. yang menjawab setiap dosa kita, bukan kita tapi dia. Itu, kita tak Nampak. Sebab hari menjawab belum sampai lagi. Bila dah sampai, dah lambat… Soalan dah ada, skema dah bagi, jawapan masih tak ikut apa yang dikehendaki.

PENDIDIKAN: Budaya Membaca

Saya sempat singgah menjenguk ke perpustakaan mini AEON Mall sebentar tadi. Lain betul suasananya berbanding masa zaman saya sewaktu kecil-kecil dulu. Pengunjungnya jelas tidak seramai dahulu. Sunyi-sepi seakan memahami teori konsep perpustakaan.

Ianya bukanlah sesuatu pemandangan yang indah. Saya berkesempatan menggunakan khidmat carian Google dan mencari sedikit maklumat untuk memahami dengan lebih lanjut senario ini. Saya ingin berkongsi tentang fakta budaya membaca di kalangan kita yang mana:

  • Menurut laporan UNESCO, melalui National, Regional and Global Trends pada 2016, kadar literasi rakyat Malaysia adalah sebanyak 98.4%. Kerajaan meletakkan kadar sebanyak 99% yang hendak dicapai menjelang 2020.
  • Indeks Budaya Dunia 2017 menunjukkan rakyat Malaysia menggunakan masa kurang daripada 5 jam seminggu (sumber:TheStar Online, 9.12.2018) untuk membaca, berbanding India (10.7 jam),Thailand (9.4 jam) dan China (8 jam).
  • Kajian Interim Tabiat Membaca 2014 yang dilaporkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (sumber: Berita Harian, 12.4.2018) mendapati rakyat Malaysia membaca 15 buku setahun. 
  • Kajian yang sama juga menyatakan majalah adalah pilihan rakyat Malaysia iaitu sebanyak 62.8% dan diikuti akhbar (61.2%), buku ilmiah (54.8%), novel dan fiksyen (47%), bacaan dalam talian (46.4%), fiksyen (29.9%), komik (25.3%) dan jurnal (19.9%).

Budaya membaca di kalangan kita masih agak ketinggalan. Tabiat ini makin berkurang bila anak-anak melangkah ke alam universiti. Membaca itu gedung ilmu. Marilah kita berazam untuk belajar menyintai tabiat ini. Antara cara-cara yang boleh dilaksanakan untuk menggalakkan bacaan adalah seperti:

  1. Menganjurkan kelab buku atau santai bersama buku di mana kita memilih satu buku sebagai bacaan dan sediakan waktu tertentu untuk sama-sama membaca dan bersantai serta membincangkan pendapat masing-masing tentang buku yang dibaca.
  2. Menyediakan kawasan dan pustaka buku yang lebih menarik. Tak semestinya perpustakaan itu kena senyap sunyi sepi. Sedikit kecerian dengan berlatarbelakangkan lagu-lagu ilmiah di ruang-ruang tertentu mungkin dapat menarik minat anak-anak membaca.
  3. Pertandingan membaca dan bercerita hendaklah dipergiat dan di tambah dengan elemen menarik dan kreatif untuk menarik minat si cilik.
  4. Sosial media juga boleh membantu menanam minat membaca. Para instafamous, youtubers dan sebagainya sekali-sekala digalakkann mengadakan slot buku menarik dan menyampaikan ulasan secara kreatif dan berinteraksi dengan netizen.
  5. Memperbanyakkan lagi sumber bahan bacaan dalam bentuk e-book dan mengadakan perpustakaan digital bersesuaian dengan trending dan cara hidup zaman serba ‘pintar’ ini.

Arahan dan ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril AS sendiri jelas menekankan betapa penting aspek membaca dalam kehidupan.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan
(QS Al-Alaq; 1)

Islam menganjurkan umatnya membaca untuk mendapat ilmu dan sesungguhnya amal tanpa ilmu adalah suatu kegilaan sedangkan amal tanpa ilmu adalah suatu yang sia-sia. Ianya haruslah seiring, dan orang yang berilmu diangkatkan martabatnya di dalam masyarakat. Marilah membaca kerana banyak kepuasan dan kebahagiaan akan ditemui dengan membaca.

Dunia adalah ibarat sebuah buku, dan mereka yang membaca pastinya sudah mampu menawan dunia.

CERPEN: Segulung Ijazah di Puncak Bukit

Di puncak bukit itu, dia tersenyum gembira. Hari ini, mereka berjaya. Gigih dia ber’selfie’ untuk kenangan dan perkongsian rakan seperjuangan, dan tak lupa juga untuk si dia, musuhnya yang dulu bagi isi dengan kuku. Sungguh, manusia itu tidak bersamanya menikmati kejayaan mereka, tetapi dia yakin,bukti ‘selfie’ ini sudah cukup bukti untuk membuat kebenciannya itu cemburu dan cemburu lagi.

Cuma yang dia tidak tahu, musuhnya itu tak pernah membencinya. Tidak sedalam kebencian yang ada dalam dirinya, tidak setinggi kemarahan yang lahir dalam jiwanya. Atau mungkin, sebab dia tahulah buat benci dan marahnya meluap-luap.

Orang yang dibencinya itu orang yang dia kenal sejak lahir lagi. Orang yang mula dia pandang tinggi, pada mulanya. Seorang kakak yang sangat dia cemburui. Rajin membaca, sampaikan semua orang menggelarnya perpustakaan bergerak. Dari kecil sudah pandai bermain organ, tapi dia tak pernah diberi peluang untuk ke kelas belajar muzik. Semuda enam belas tahun, sudah jauh merantau nun di utara negara, kemudian tamat SPM, terus pergi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Makin jauh dia merantau. Makin disebut-sebut abah mama, makin dirindu-rindu semua di tanah air. Sedangkan dia, dengan berbekal tak cukup A, masih layak masuk ke asrama seusia tiga belas tahun, tapi terpaksa diinjak keluar ke sekolah kebangsaan bila keputusan PMR yang tak memberangsangkan. Di sekolah kebangsaan, khusyuk fokus dia dengan sukan, olahragawati sekolah, wakil negeri untuk pasukan bola jaring, bab sukan dia ‘number one’! Itulah agaknya, kuat betul dia mengutuk kakaknya itu yang memang lembik lemah bila bersukan, hinggakan nak mendaki tangga rumah yang dua tingkat itu pun bersesak-sesakan. Terlalu gah dia bersukan, dia leka dengan pelajaran. Tak macam kakak, keputusan SPM dia nak kata cukup makan pun, belum tentu. Terlalu banyak hinggat tak lepas gred satu. Terpaksalah dia mula dari bawah. Syukur, alhamdulillah, Allah masih bagi jalan padanya. Dari kolej ‘biasa-biasa’, dia terpilih untuk memasuki Universiti Teknologi MARA. Dia masih menyimpan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke luar negara macam kakaknya. Sungguh, berkeras dia berusaha. Dia yakin sebab usaha kerasnyalah melayakkan dia menamatkan Diploma dengan cemerlang hingga melayakkan dia mendapat Anugerah Dekan. Misi ke luar negara harus diteruskan. Ijazah Sarjana Muda dari óversea’ harus digenggaminya. Puas mama abah mencari biasiswa, tetapi dia tak layak. Kursusnya bukan kursus kritikal. Dek kasih dan demi cita-cita anak, gigih abah mama pergi Bank Rakyat buat pinjaman. Dia teruskan belajar untuk setahun dia Manchester, tempat kakaknya dulu, tapi bukan di universiti yang kakak pergi. Hanya sekadar salah-satu kolej universiti yang dinaiktaraf menjadi universiti. Alhamdulillah, sebab keputusan cemerlang Anugerah Dekan, dia hanya perlu menamatkan pelajaran di sana selama setahun untuk mendapat ijazah.

Rezekinya Allah bagi lagi. Tak habis dia bergraduasi, sudah ditawarkan kerja di tanah air bersama syarikat minyak dan gas ternama. Itu mula detik kegemilangannya. Mungkin kakaknya hebat bergelar jurutera, tetapi dia lagi hebat mendapat kerja bersama syarikat ternama Fortune500 itu.

Panjang cerita musuhnya dalam diam. Cuma yang buat kakaknya tak faham, kenapa sehingga hari ini dia tak mahu berbicara? Adakah dia hidup penuh penafian?

Kini, masing-masing sudah ada kehidupan masing-masing. Tapi, dari kejauhan, mungkin ada rasa cemburu dan masih ingin bersaing di dalam hatinya. Abang iparnya kerja, mewah gajinya. Kakak pula, murah rezeki dengan anak-anak yang cergas cerdas. Dia pula, masih mencari-cari hala kerjaya suaminya, anak pula menjadi dugaannya. Yang menjadi, gugur. Yang lahir, meninggal. Mujur ada seorang, anak bijak pandai yang terang hatinya. Yang beza hanya dua hari dari umur anak kakaknya yang ketiga. Kali ini, dia ‘menang’. Anak kakak masih gagap membaca, anak dia antara terbijak di sekolah. Anak kakak tak pandai muzik, anak dia pergi belajar piano setiap minggu. Tapi, yang peliknya, itu semua apa yang dia mahu tandingi. Tak nampakkah dia, kakaknya tak rasa ingin bertanding langsung perihal itu?

Bencinya meluap-luap hingga lah satu hari, bila abang iparnya ‘buat hal’memberi komen kurang sopan dalam kumpulan WhatsApp keluarga Besar. Terus diarahnya si sepupu tutup kumpulan itu, katanya nak jaga hati makcik-makcik. Akur si sepupu. Kakak sepupu yang lebih tua menyokong tindakannya. Terus dinaikkan status di Facebook ala-ala ‘sek kito jange pecoh!’ Yang si kakak tak faham. Mengapa harus mereka mengasingkan suami si kakak dari keluarga? Komen itu sudah pun si suami jelaskan dan mohon ampun pada orang yang terkena tempias, tapi mereka yang berlebih-lebihan. Bila kakak tanya, dengan gah dia berkata ‘aku memang dah lama tak suka cara abang. aku berlakon okay je selama ini.’ Bila ditanya lagi, boleh dikhabarkan ‘aku tak suka dia sakitkan hati keluarga dan keturunan aku!’Marah lah kakak dengan kesombongannya itu. Keturunan ‘aku’ sepatutnya tak salah kalau ditukar dengan kata ‘kita”.

Nak ajak bersemuka? Dia tak mahu. Bila berjumpa di malam raya, dia bersalam minta maaf selamat hari raya, tanpa menjelaskan segala, kemudian dicanangnya yang dia sudah minta ampun tapi kakak yang sombong. Bila bertembung di majlis keluarga, cepat-cepat dia lari tak mahu berada di tempat yang sama. Si suami pun sama ‘hebatnya’. Tiada orang menuduh dayus, dengan mewah dia memberitahu pada mama yang dia dituduh dayus. Keras tuduhan itu. Dayus itu bila engkau tak boleh jaga maruah bini kau, atau bini engkau sendiri tak boleh jaga maruah kau. Macam manca bini kau tak jaga maruah kau? Bila aurat di depan mahram tak dijaga rapi, hanya sepertiga lengan yang ditutup sedangkan yang melihat itu sepupu sepapat yang bukan mahramnya. Bila bebas dia bergaul dengan teman sekerja, bergurau-senda, walaupun dia tahu lelaki itu pernah meluahkan isi hati perasaan cinta padanya, biarpun sekarang lelaki itu sudah berkeluarga dan suaminya juga rapat dengan sesama mereka. Bila angkuh tak mahu duduh serumah dengan suaminya kerana kerjayanya lebih cerah bila di menara. Itu boleh menyebabkan jatuh dayus seorang suami. Tapi, kalau kau ada alasan yang munasabah, yang darurat tak mampu kau elak, Allah itu Maha Adil. Tak perlu menjawab pada sesiapa, kamu semua pastinya lebih hebat dapat berdebat di depan Tuhan. Sedayus-dayus kamu, kakak dulu lagi hina. Seluar ‘hot pants’, t-short tak berlengan, mata ber’contact lens’ hijau, rambut merah ungu. Masa kakak berperilaku begitu, abang tak dayus kah? Itu ujar kamu. Kau tahu, kau ada benarnya. Kakak kau sangat berdosa. Dia bukan orang baik-baik. Sampai hari ini, setiap langkah disusun istighfar, setiap datang waktu mustajab doa beristighfar, setiap tahjud dhuha beristighfar… takkan habis dosa mereka kalau nak dihitung. Rahmat dan kasuh Tuhan Yang Maha Penerima Taubat lah harapan mereka, dan izinkanlah mereka mengejar rahmat itu. Dan mereka tak pernah putus mendoakan buat kalian semua, sebab syurga itu indah dan azab Allah itu tak terluah dengan kata-kata.

Hari ini, di puncak bukit itu, sedang riuh di Facebook mempersoalkan ijazah tulin atas palsu pak-pak dan mak-mak menteri, dia tersenyum gembira. Bak kata kakak sepupunya yang agak dangkal madahnya, ‘walaupun terjalin semula hubungan yang terputus, parutnya masih tetap ada. lebih tenang diputuskan sahaja mendiam diri dari berhubung.’ Hari ini, di puncak bukit itu, dengan ijazah dari ‘oversea’, dengan pangkat pengurus dia menara kerjaya, dengan anak bijak cantik petah berkata, dengan suami yang sangat ‘understanding’ membiarkan sahaja dia menjadi hebat, dia sudah cukup yakin, semua usahanya berbaloi. Dia sudah berjaya. Tambahan pula bila kakak yang bijak pandai itu, kini hanyalah suri-rumah lemah yang sakit tak pernah lelah dan abang ipar yang tak pernah nak jaga hari keturunannya itu tidak direzekikan apa-apa pendapatan. Dia sudah berjaya. Anaknya pun pandai bermain muzik. Cukup lengkap cita-citanya. Dia sudah berjaya. Dan yang lebih membanggakan bila mereka berjaya membuat abah bersuara menghina abang iparnya di khalayak ramai. Dia rasa itu yang selayaknya. Dia lupa, sebabkan dia dan kakak sepupunya, abahnya lupa diri, terus ingin memutuskan silaturrahim seperti yang sedang dia lakukan.

Cuma dia lupa, usaha itu, bukan usaha dia. Dan dia tak mahu ada orang mengingatkannya kerana dia mahu tenang. Dia sanggup berdiam dari mencari kebenaran dan memberi kebenaran.

Dia belum tahu perkataan istidraj.

Dia belum kenal siapa Pencipta yang memberi ijazah, kemampuan dia memanjat bukit, kejayaan dia di puncak kerjaya.

Moga satu hari, dia ditunjuk jalan, seiring dengan dengan doanya sehari-harian, ih dinas sirotul mustaqim… moga dia faham apa yang dia ucapkan.

Cuma dia perlu tahu satu, kakak dia dah lama maafkan dia. Habis tanggungan kakak di dunia ini. Kalau sungguh berputus, kakak sudah serah segala pada Ilahi. Dan kakak tak pernah mendoakan yang buruk. Adik, bertaubatlah. Taubat itu manis. Berhentilah membawa semua orang yang kau sayang ke jurang neraka. Sakit jatuh gaung bukit itu pun, belum tentu mampu kita tanggung.

PUISI: Cukup

Cukup

sesungguhnya ArRazak itu,
melebihkan rezekimu, 
paling tidak pun mencukupkan apa yang perlu.

jangan terus leka,
mabuk engkau dibuatnya,
dek kerana mengumpul harta.

hingga panjang angan disusun,
setinggi awan ketujuh impian dihimpun,
sampai lupa nam kaki dituntun diturun.

pesan Nabi SAW diulang-ulang,
beringat di dunia , akhirat wajib dijulang,
bukan dunia yang harus erat kau pegang.

sesungguhnya benar;
hiduplah semau mana kamu mahu, 
ajal tiba bukan mampu kamu mengelak.
cintalah sedalam mana kamu kasih, 
pergi kamu pasti berpisah tiada tidak.
buatlah sebanyak mana kamu berkehendak, 
sampai masanya tak daya kamu menolak.

Hasbunallah Wani’mal Wakil,
pasti engkau sekaya-kaya makhluk AlJalil;
yang bersyukur dengan rezeki yang diputuskan atas kamu,
yang bersabar dengan musibah yang dibebankan atas kamu;
jangan pernah kufur nikmat ArRazzaq;
jangan pernah goyah janji AlJabbar

– says ع –

Image may contain: text

PUISI: Jangan Datang Tangan Kosong

Jangan Datang Tangan Kosong

Kalau nanti,

bila tiba masa untuk pergi,

yakin sudah bekal mencukupi,

tiba-tiba hilang segala amalan dan budi,

apa nak jawab, mana nak cari?

Tiap tahjud bangun berdiri,

Tiap sen infak diberi,

Tiap isnin khamis berlapar nasi,

Tiap azan terus berlari,

tiba-tiba simpanan hilang menyepi,

apa nak jawab, mana nak cari?

Sudah tersurat Kalamullah,

gugur semua amal ibadah,

kufur engkau pada Pemerintah,

rasul-rasulNya kausumpah seranah,

Neraka Jahanam terpaksa kaumelangkah.

Wahai kalian hamba Allah,

rugilah kita bila menyanggah,

kasih ArRahim itulah rahmah,

kejarlah itu, selalulah nasoha.

Jom AlKahf hari Jumaat barokah.

-says ع-

PUISI: Kau Menangis?

Kau menangis?

Kau menangis?
Menyesali lakumu atau tuturmu?
Menggusari nasibmu atau takdirmu?
Merindukan kekasih hati atau yang pergi menjauh?
Atau hanya sekadar hilangnya mentari di senja syahdu?

Kalau wajib kau menangis,
menangislah bukan kerana dosa-dosamu,
tetapi kerana tak pernah kau cuba mendekati taubatmu,
padahal kau tahu,
Dia itu Maha Penerima Taubat yang sentiasa merindukanmu.

Kalau sunat kau menangis,
menangislah mensyukuri apa yang Dia beri,
mentari dan purnama bersilih-ganti,
tak pernah gagal menghadrkan diri,
cuma umur kita yang tidak kita ketahui.

Kalau harus kau menangis,
menangislah untuk memujuk diri,
merindui yang pergi membawa diri,
dek sebab merajuk dibiar sepi,
ikhlaskan doa tak henti-henti,
kepada Dia, Yang Membolak-balikkan Hati.

Jangan langsung kau menangis,
menolak takdir yang tersurat untukmu,
menepis redha kerana cemburu,
membenci malang bertalu-talu,
apa kau tidak tahu?
Dia menguji kerana kasih padamu?

-ع says -24.12.18-