CERPEN: Raya mana tahun ni?

‘Raya turn siapa tahun ni?’

Dia memberi senyuman paling manis sebagai jawapan untuk soalan itu. Jauh, dalam hatinya, dia menangis teresak-esak. Berhari-harian, bermalam-malaman.

Sejak berkahwin, raya mana tak pernah menjadi persoalan sukar untuk dijawabnya. Memang sebelum kahwin, sudah termeterai akurnya kedua pasangan, tahun pertama di rumah keluarga suami, tahun kedua di rumah keluarga dan berikutnya. Ada sekali dua, si suami terpaksa bekerja di tengah laut ketika raya, bahagialah dia dapat berpuasa beraya di rumah ayahbondanya tanpa mengira giliran siapa.

Tahun lepas, mereka beraya bersama keluarga suaminya di pantai timur. Tahun ini, seharusnya bersama keluarganya. Tapi itu kalau ikut apa yang diharapkannya.

Suaminya bukan seorang diktator. Dia boleh dibawa berbincang dan bertoleransi orangnya. Raya tahun ni pun, kalau si isteri mahu, boleh saja beraya di rumah mertua.

‘Takpelah bang, kita beraya di Kemaman saja. Raya kat KL pun, kalau kita dipulaukan oleh adik-beradik, sepupu-sepapat sendiri pun, dah macam tak raya je.’

Abah mama masih sihat, Alhamdulillah. Ingin sekali dia berpeluang mencium tangan abah mama seawal pagi raya, memohon ampun maaf atas segala laku, kata dan segala sikapnya yang sedar atau tidak membuat abah mama terguris jiwa.

Dulu, abah mama sumbernya ke pintu syurga. Syurga abadi dan syurga dunia. Semua yang dia mahu, malah sering juga tanpa dipintanya,mereka penuhi dan mereka lengkapi.

Sekarang, dah berkeluarga, bersuami, beranak tiga, wali hak pastinya si suami. Dia nak kejar redha Allah, syurga untuk si solehah. Lepas redha Allah, ikut pesan Nabi SAW, taat suami, solat puasa; Insyaallah pilihlah mana-mana pintu syurgapun, itu janji Allah. Itu yang dia dambakan. ‘Life goal’ kata orang sekarang.

Si adik, sepupu-sepapat marahkan dia. Entah marahkan dia sebab akur pada si suami, entah marahkan suami sebab kasar berbahasa, entah marahkan dia sebab tak seteru dengan mereka; dia cuba bertanya, bukan sekali dua. Setiap kali dia mencuba bertanya untuk mendapat jawapan pasti, setiap kali itu dia diherdik dan dimaki sepelaung kuatnya suara. Dia bukan jenis wanita bersopan lembut dan senyap bila diherdik. Tinggi suara si pengherdik, tinggi lagi frekuensi suara yang dilantunnya. Tak pernah berjaya untuk dia mendapat jawapan. Setiap persoalan pasti berakhir dengan herdikan dan jeritan.

Hingga habis hayat pakciknya, dia dan suami tak dijemput bertahlil. Malah, si makcik bangga mengaku dia bukan anak saudaranya lagi.

Si adik menjamu abah, mama dan adik bongsunya di restoran berdekatan kawasan rumahnya, bangga berkongsi gambar kegembiraan bersama. Mungkin dia lupa hendak mengajak kami sekeluarga. Mungkin dia tak berharap saya melihat setiap Instastory yang dikongsinya. Mungkin dia mahu saya tahu saya bukan lagi ahli keluarga mereka. Terlalu banyak kemungkinan berlegar di benak mindanya.

Kenduri ‘pre-ramadhan’ di rumah nenek beramai-ramai pun tidak menginginkan hadirnya mereka lima beranak. Cukup sekadar dikongsi segala gambar di sosial media. Jelas dia rindu setiap satu lauk-pauk yang terhidang, jelas dia sayu melihat semua sanak ada berkumpul, jelas dia pilu mendapat tahu mereka memang tidak malu mengaku mereka yang memutuskan ikatan yang datangnya dari Dia.

‘Raya turn mana tahun ni?’

Senyum lagi.

Kali ini dia gagahi, ‘Raya tempat mana orang nak terima kitalah kak. Orang tak sudi, takkan kita bak sorong muka ni. Kita pun nampak dalam cermin hari-hari, hidung memang tak mancung tara mana pun. Alhamdulillah, masih ada yang nak berkakakkan saya. Cuma bukan di tempat sendiri.’