NAMA ALLAH: 2. Ar-Rahim (Yang Maha Pengasih)

Di antara nama Allah yang mulia. Jika Ar-Rahman adalah Tuhan Yang Maha Pemurah untuk sekian makhlukNya, Ar-Rahim adalah Tuhan Yang Maha Pengasih untuk hamba-hambaNya yang beriman sahaja. Kasih sayang Allah Ar-Rahim untuk orang yang beriman hadir di dunia dan di akhirat.

Antara nikmat di dunia yang diperolehi bagi orang yang beriman daripada Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:

1. Rahmat – Mendapat rahmat dari Allah SWT.
Hamba Allah yang beriman tidak akan dibiarkan, malah akan dibela oleh Allah SWT dengan anugerah ketenangan. Seperti dalam firmanNya:

(Tetapi kekalnya Al-Quran itu) hanyalah sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya limpah kurnianya kepadamu (wahai Muhammad) amatlah besar.(Al-Israa’ 17:87

Kenapa kita perlu rahmat Allah? Dengan rahmat Allah, orang yang beriman tidak akan dibiarkan keseorangan. Allah akan menolong menyelesaikan segala masalah orang-orang yang beriman. Masalah setiap manusia adalah berbeza dari segi bentuk masalahnya iaitu masalah kesihatan, masalah kewangan, masalah kezaliman dan sebagainya. Kesamaan dalam masalah ialah setiap masalah menyempitkan hati manusia. Orang yang beriman akan diuji dan diberi rahmat dan jalan keluar dari ujian daripada Allah Ar-Rahim.

Untuk mendapat rahmat Allah SWT, amalkan dua perkara:
i. Taat perintah Allah 
    a) yang wajib betulkan
    b) yang sunat perbanyakkan
ii. Tinggalkan larangan Allah
    a) yang haram jangan dibuat
    b) yang makhruk dihindarkan

2. Barakah – Mendapat keberkatan dari Allah SWT.
Allah Ar-Rahim memberi pertambahan kebaikan dalam amalan hari-harian untuk orang-orang yang beriman. Tuhan Yang Maha Pengasih memberi keberkatan kepada orang yang beriman. Semakin taat sesorang itu, semakin banyak keberkatan Allah SWT limpahkan di dunia ini.

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.(Al-A’raaf 7:96)

Untuk mendapatkan berkat Tuhan Yang Maha Pengasih, sentiasa jaga adab orang beriman dan mohon doa dariNya.

3. Sakinah – Mendapat ketenangan dari Allah SWT.
Orang yang beriman akan mencari ketenangan dengan Allah SWT, bukan dengan perkara-perkara lain. Allah SWT tidak pernah menjadikan maksiat itu ubat bagi ketenangan hati. Janganlah didahulukan ‘syurga’ dunia.

(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(Al-Fat-h 48:4)

Marilah kita berazam untuk menjadi orang-orang yang beriman dan mendapat segala nikmat Tuhan Yang Maha Pengasih di dunia dan akhirat.

Ar-Rahmeem.  The All-Compassionate one.  He who acts with extreme kindness.


* sumber daripada klip video Youtube Ustaz Amin
#100daystoRamadhan
#day2

NAMA ALLAH: 1. Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah)

Ar-Rahman, maksudnya Allah Yang Maha Pemurah, yang mana seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Fatihah,

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam(Al-Faatihah 1:2) |

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani(Al-Faatihah 1:3

Nama Tuhan Ar-Rahman ini adalah Tuhan yang memberi rahmat dan nikmat yang banyak untuk semua makhlukNya, tidak kira yang Islam atau pun tidak.

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Al-Nahl 16:18)

Nikmat dan rahmat Allah tidak terhitung banyaknya. Ibarat helaian rambut yang ada dijunjung di atas kepala, begitulah rahmat Allah kepada kita, tidak mampu dikiranya banyak, dan dijulang setinggi-tingginya. Namun, manusia sentiasa lalai dan leka. Apabila diberi keuntungan dan kesedapan, kita lupa pada nikmat dan rahmat Allah, tetapi, apabila diuji, mulalah kita sedar dan ingat pada Yang Maha Pemurah.

Nikmat adalah apa-apa perkara yang memberi kesedapan pada manusia. Ada 5 bahagian nikmat Allah iaitu:

1. Nikmat asasiah
Nikmat yang diberi dan menyempurnakan kita sebagai manusia seperti bersifat semula jadi seperti nikmat mata, udara dan sebagainya. Dan juga nikmat boleh kita usahakan seperti nikmat makanan, pakaian, rumah dan sebagainya.


Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya.
(Az-Zukhruf 43:13)

2. Nikmat qalbiyah
Nikmat yang menyenangkan hati dan emosi seperti nikmat anak-anak dan isteri.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Ar-Ruum 30:21)

3. Nikmat badanniyah
Nikmat kesihatan.

Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
(Ar-Ruum 30:54)

4. Nikmat akliyah
Nikmat akal dimana dimudahkan belajar dan memahami apa yang dibelajar. Adalah suatu perkara haram bagi manusia merosakkan akal dan membiarkan diri dalam keadaan jahil.

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
(Al-Baqarah 2:269)

5. Nikmat imaniyah
Nikmat iman yang memberi kesedapan kepada manusia dengan memberi ketenangan hati dan sentiasa ditambah iman seseorang daripada yang sedia ada bila diberi nikmat imaniyah.

(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Fat-h 48:4)

Untuk mendapatkan nikmat Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, hendaklah kita bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amalan-amalan yang diperintah ke atas kita, bersabar dalam usaha dan sentiasa bersyukur apabila diberi penambahan nikmat. Sesungguhnya, setinggi-tinggi nikmat adalah nikmat IMAN dan ISLAM. Alhamdullillah.

Ar-Rahman.   The All-Merciful One.   He who wills goodness and mercy for all his creatures.
* sumber daripada klip video Youtube Ustaz Amin

#100daystoRamadhan
#day1

PENDIDIKAN UMUM: Adab di dalam Kumpulan WhatsApp Sekolah

Ibubapa tahu tak, yang paling guru-guru ‘geruni’ bila mula tahun baru ialah menjadi pengurus kumpulan Whatsapp kelas? Tujuan asalnya memanglah untuk berkongsi perihal sekolah, aktiviti anak-anak dan perkara berbangkit sahaja. Namun, lazimnya, pasti akan ada penyalah-selenggaraan dari pihak-pihak tertentu.

Kumpulan sosial yang diwujudkan bukanlah untuk kepentingan individu. Saya bukanlah nak mengajar ibubapa, tetapi ikhlas nak beri cadangan berkenaan adab ber-Whatsapp.

Sebenarnya, banyak hal dan panjang-lebar penjelasan dan pengalaman yang hendak dikongsikan perihal kumpulan WhatsApp ini. Tapi, mungkin kita cuba faham antara perkara yang harus kita sama-sama renung, ingat, ambil pengajaran dan amalkan. Antaranya:

  • Jangan sentuh isu sensitive melibatkan agama, bangsa, bahasa dan politik. Kita masing-masing mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan berbeza. Hormatilah hak orang lain. Kalau ada pendapat yang pada pandangan kita perlu disanggah ditegur, tegurlah dengan berhemah. Bila sudah ditegur atau sudah kita sampaikan dengan cara paling baik, cubalah untuk menerima pendapat individu lain. Bak kata omputeh ‘agree to disagree’.
  • Bila masuk kandang kambing cubalah mengembek, masuk kandang kerbau menguaklah. Kita semua menjadi contoh tauladan untuk anak-anak kita. Tunjuklah yang baik-baik. Kebolehan untuk mengadaptasi dengan situasi dan sesuatu yang baru adalah satu skil yang mahu kita terapkan pada diri anak-anak kita. Ini salah satu cara yang boleh kita tunjuk untuk menjadi panduan anak-anak.
  • Jangan kritik ibubapa dan pelajar lain. Juga, tolonglah jangan kritik guru-guru di dalam kumpulan yang belum tentu kita kenal semua ahlinya! Ajar anak-anak dan diri kita untuk berhusnuzon, bersangka-baik. Kadangkala, intonasi yang hendak disampaikan oleh seseorang dan kumpulan WhatsApp ini mungkin berbeza. Niat penulis mungkin hanya sekadar memberitahu, tetapi dibacanya kita dalam nada marah. Perkara ini pasti tak membawa apa-apa kebaikan jika dipanjangkan berlebih-lebihan. Yang lebih memburukkan keadaan jika ada antara ibubapa yang hanya mendengar kisah dari satu pihak dan terus membuat kesimpulan sendiri. Kadang-kadang, kita kena saling ingat-mengingati supaya tak salah membuat tafsiran sendiri. Jika ada konflik dan sebagainya, dengarlah kisah dari semua pihak, bukan hanya daripada anak-anak atau satu pihak sahaja.
  • Kumpulan Whatsapp itu bukan tempat luahan rasa kita, bukan untuk membawang. Itu bukan caranya. Kumpulan WhatsApp bukan tempatnya. Jangan sampai nanti kita sendiri yang membuka pekung di dada kita, kita sendiri yang mendedahkan aib dan kejahilan diri sendiri. Kalau ingin berkongsi perkara-perkara tertentu, nilaikanlah terlebih dahulu. Perlukah? Betul dan sahihkah? Benar dan boleh dipercayaikah sumbernya? Bermanfaatkah untuk perkongsian ramai? Fikir sebelum berkongsi, supaya tak menyesal di kemudian hari.
  • Rumpun kita rumpun beradab. Banggalah dengan budaya turun-temurun itu. Jagalah adab. Ingin sekali lagi saya tekankan. Kita cermin tauladan untuk anak-anak. Cantik adab kit, indahlah adab anak-anak.

Hadis Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda, yang bermaksud : “Sesungguhnya ada seorang hamba yang berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dipikirkan bahayanya terlebih dahulu, sehingga membuatnya dilempar ke neraka dengan jarak yang lebih jauh dari pada jarak antara timur dan barat.” (Sahih Muslim)

Juga,untuk renungan bersama : Hadis Abu Hurairah, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia mengganggu tetangganya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam saja.” ( Sahih Bukhari)

Perbetulkan niat kita, untuk kebaikan anak-anak. Jangan pentingkan diri sendiri. Jangan sampai teknologi yang sepatutnya digunakan sebaik mungkin menjadi lubuk dosa tanpa kita sedari.

PENDIDIKAN UMUM: Kuasa Di Hujung Jari, VIRAL!

Kebanyakkan kita sudah sedia maklum berkenaan firman Allah didalam Surah Al-Hujurat and maksudnya:-

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

Manusia atau insan itu sendiri asal katanya dari perkataan na-sii-ya yang bermaksud lupa. Sebanyak mana pun kita mengingati dan diperingatkan, terkadang masih ramai antara kita yang terlepas pandang dan masih ramai jaga yang tidak teringat adab dan tatasusila bermanusia. Malah, ada juga yang faham dan tahu, namun tidak mahu beradab seperti manusia yang sudah Allah kurniakan akal fikiran yang waras.

Kita tidak mampu untuk menongkah arus menolak teknologi yang ada masa kini. Sosial media, dalam banyak yang faham dan jelas keburukan dan permasaalahan yang timbul dek kerana sosial media, masih ramai yang menggunakan dan memerlukannya untuk kehidupan harian. Kita sedia faham, apa-apa perkara sekali pun, yang dibuat berlebihan pastinya akan mendatangkan penyakit. Penyakit itu datang sebagai ujian, sebagai fitnah kehidupan. Perbanyakkanlah ilmu supaya kita tidak terlalu leka membiarkan nafsu beraja dan tergolongan di antara karib musuh kita, si syaitannurrojim.

Kuasa viral di kalangan masyarakat kita kini sudah menjadi-menjadi dewasa ini. Tidak semua berita yang ditular itu membawa kepada keburukan, tetapi umum sendiri dapat menilai betapa banyak khilaf dan salah-faham, persengketaan dan permusuhan, keregangan hubungan hingga terputusnya silaturrahim sesama manusia disebabkan viral. Hanya dengan satu klik di hujung jari kerdil, pelbagai kerosakan yang lahir bila manusia silap menilai.

Fikirlah sewarasnya sebelum kita membuat sesuatu perkara atau keputusan yang akhirnya membawa padah pada diri sendiri. Ianya bukanlah sesuatu yang sukar. Saya ingin berkongsi lima ‘fasa tahu’ yang mungkin dapat membantu kita dalam membuat keputusan dalam menilai perlu atau tidak sesuatu berita atau cerita dijadikan perkongisian umum. Mencegah itu pastinya lebih baik daripada mengubati.

1.Fasa Tidak Tahu

Apabila tiba sesuatu berita ke pengetahuan kita, jangan mudah melatah dan terus mahu menyumpah. Jangan terusan mahu dikongsi segala kisah, atas niat yang salah. Sekurang-kurangnya, bila diberi jalan hidayah mendapat perkhabaran tersebut, telitilah perihal berita itu, adakah ianya berita berbentuk cerita yang memang memerlukan perhatian atau ilmu non-fiksyen yang mungkin hanya untuk segolongan pihak sahaja. Perlu kita faham konteks yang hendak disampaikan supaya mudah kita menyalurkan perkongsian kita di saluran yang betul.

2.Fasa Ambil Tahu


Siasatlah kesahihan berita tersebut. Kajilah sumber dan asal berita itu. Segala kisah pastinya bukan hanya melibatkan satu pihak sahaja. Jika ianya berita berbentuk perkongsian ilmu, siasat sumber dan fakta ilmu yang dikongsi. Boleh jadi yang si penulis pada asalnya hanya sekadar berkongsi buat peringatan dan kenangan diri sendiri, tetapi disalahfahamkan bila yang membaca tidak mahu ambil peduli latarbelakang berita tersebut. Jika ternyata berita yang sampai itu hanya sekadar cereka yang rekaan semata, walaupun cara penceritaannya menarik perhatian pembaca, simpan sahaja berita itu untuk kenangan kita sendiri, tak perlu dikongsi.

3.Fasa Mahu Tahu

Bila terbukti kesahihan berita yang kita terima, nilailah pula adakah perlu untuk kita berkongsi perihal tersebut. Memang sepatutnya perkara bagus dan bermanfaat dikongsikan untuk sama-sama kita mengambil iktibar, peringatan dan panduan untuk meneruskan kehidupan sehari-harian. Namun, jika berita itu, walaupun benar dan sahih sumbernya, fahamkan pula niat dan keperluan untuk berkongsi kisah tersebut. Jika sekadar hanya berkongsi kerana ia tidak membawa sebarang manfaat atau tidak juga membawa mudarat, tak perlulah dikongsikan. Simpan sahaja buat kenangan persendirian.

4.Fasa Perlu Tahu

Kalau ada keperluan untuk kita berkongsi sesuatu berita, kajilah pula audience atau kumpulan yang mungkin akan mendapat manfaat yang lebih daripada perkongisian kita itu. Jangan terus melulu hendak dikongsi pada semua lapisan masyarakat dan dunia. Seringkali, akibat ghairah mengejar share dan like yang banyak, kita terlupa motif asal perkongsian kita itu. Kajilah jika perkongisian itu hanya sekadar renungan dan pengajaran buat kaum kerabat dan kenalan terdekat atau harus umum mengetahui untuk kebaikan atau mengelakkan kemudaratan orang ramai. Niatlah di dalam hati agar perkongsiaan itu menjadi simpanan berguna di kala amal kita dihisab nanti. Ilmu bermanfaatlah antara amal-amal yang tiga yang kita harapkan bila habis nyawa kita di alam kehidupan ini.

5.Fasa Ikut Tahu

Di peringkat ini, kalau salah informasi yang kita kongsi, mungkin jalan penyelesaian adalah memohon maaf dan bertaubat. Jika silap sehinggakan kita hampir atau sudah menganiaya insan lain sebab perkongsian kita, takut nanti banyak masalah yang mendatang. Masalah perhubungan, perundangan dan sebagainya. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sesal dahulu, pendapatan; Sesal kemudian, tiada gunanya

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:  “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah ? maka baginda SAW menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”.

Jauhkanlah diri kita daripada golongan fasik dan menjadi fasik. Jangan buat perkara-perkara yang menjuruskan kita menjadi sebahagian daripada golongan al-Ruwaibhidah. Niatkan semuanya untuk Allah, demi menjaga nama Islam yang suci dan mempertahankan cinta kita pada Rasulullah SAW yang bermati-matian berjuang untuk Islam sampai ke kita. Jangan sampai perkara yang kita kongsikan di media sosial menjadi asbab timbulnya fitnah, ghibah dan pelbagai tohmahan buruk kepada manusia lain dan agama Allah ini.

Moga kita semua diberi kefahaman ilmu dan dapat mengamalkan sebaik mungkin. Dan sama-samalah kita mencuba untuk tahu segala perihal dan aspek sebelum hendak kita kongsikan sesuatu berita. Wallahualam.

Pendidikan: Drama ke Asrama

Saya rasa perlu untuk menitipkan sedikit nota berkenaan pengumuman Menteri Pendidikan berkenaan anak-anak B40 akan diberi keutamaan dalam kemasukan ke sekolah berasrama penuh, SBP.

Sebagai seorang ibu yang kiasu dan mementingkan diri demi untuk memberi pendidikan terbaik buat anak-anak, saya agak ‘gusar’ dengan pengumuman itu. Ramai ibubapa yang ‘merintih’ berkeluh kesah apabila anak-anak mereka yang telah berhempas-pulas menduduki UPSR tahun ini, mendapat keputusan cemerlang 6A atau 5A tetapi tidak terpilih untuk mendapat tempat di SBP. Sebaliknya, kawan-kawan mereka yang hanya mendapat 2A atau 3A yang berjaya menjejaki kaki ke asrama. Adilkah itu? Salahkah anak-anak golongan M40 dan T20 (atau untuk memudahkan bicara, kita gelarkan mereka ‘golongan bangsawan’) dilahirkan di dalam keluarga yang diberi sedikit rezeki dari Ar-Razak? Patutkah ‘dianiaya’ anak-anak yang sudah berusaha sedaya boleh untuk mendapat keputusan cemerlang tetapi tak layak ke SBP kerana latar belakang keluarga mereka?

Saya mula membaca piagam pendidikan negara, falsafah dan objektif SBP.  


Ternyata, tujuan utama SBP ditubuhkan adalah untuk kemudahan yang teratur dan sempurna. Ya, saya sangat bersetuju dengan KPM. Seharusnya, asrama adalah untuk mereka yang layak dan tidak berkemampuan untuk menyediakan pendidikan yang kondusif bagi anak-anak. Persoalannya, adakah anak-anak yang terpilih itu LAYAK? Jika benar, apakah sebenarnya KELAYAKAN yang diletakkan sebagai batu pengukur? Saya akui, anak-anak di bawah B40 seharusnya diberikan keutamaan untuk terpilih ke SBP jika keputusan mereka secemerlang kawan-kawan mereka yang datang dari golongan bangsawan. Saya juga setuju yang kelonggaran dari segi keputusan akademi harus diberi pertimbangan dimana pencapaian anak-anak B40 yang mendapat 4A mungkin sama taraf dengan dengan anak-anak golongan bangsawan yang mendapat 6A. Ini kerana, mungkin anak-anak B40 tidak mampu mendapat pendidikan tambahan dan keputusan yang mereka capai semata-mata datang dari hasil usaha mereka tanpa kelas tambahan atau sebagainya. Namun, wajarkah mereka yang mendapat 2A atau 3A diberi tempat ke SBP berbanding kawan-kawan mereka yang mendapat 5A atau 6A? Maaf, saya mungkin tidak sensitif dalam membicarakan perihal ini, tetapi saya masih belum jelas dengan objektif keseluruhan yang hendak KPM capai.

Jika anak-anak B40 yang mendapat 2A atau 3A ini terpilih, mampukah mereka mengadaptasi sebaik mungkin cara pembelajaran di asrama? Atau akan merundumkan keputusan pelajar-pelajar SBP disebabkan kemampuan mereka yang ada batasnya? Saya bukan hendak mencabar atau memandang rendah anak-anak ini. Saya percaya pendidikan adalah untuk semua, terutama sekali pendidikan yang lengkap dan terbaik, wajib menjadi hak buat semua anak-anak tak kira bangsa, agama dan kedudukan sosio-ekonomi keluarga. Itulah yang sepatutnya KPM titik-beratkan buat masa ini. Sekolah kluster, sekolah integrasi dan sebagainya tidak sepatutnya diwujudkan. Semua sekolah sepatutnya mendapat kemudahan dan sokongan yang sama. Semua sekolah patut menjadi sekolah kluster, sekolah intergrasi dan sebagainya. Mungkin dengan itu, tidak ralat untuk ibu bapa mendaftarkan anak-anak ke sekolah harian.

Bukan salah anak-anak dilahirkan dalam golongan bangsawan. Bukan salah anak-anak terpilih ke asrama kerana kedudukan sosio-ekonomi keluarga. Semuanya ada peranan masing-masing. Sekolah adalah tempat menimba ilmu. Sekolah yang lengkap kemudahannya dan yang bagus tenaga pengajarnya pastinya akan melahirkan pelajar-pelajar hebat. Cuma mungkin KPM ingin menilai semula objektif SBP. Mengapa hanya sekolah berasrama penuh sahaja yang mendapat fokus kemudahan teratur dan sempurna? Mengapa tidak sekolah harian juga? Dan mungkin KPM juga ingin mengkaji semula kelayakan anak-anak yang terpilih yang seharusnya fokus bukan sahaja pada pendapatan keluarga, juga keputusan yang kalau tak cemerlang pun, sekurang-kurangnya setara dengan keputusan yang cemerlang. Kalau mendapat 2A untuk pemahaman dan penulisan sedangkan matapelajaran sains dan matematik tidak cemerlang, tetapi terpilih untuk ke sekolah sains, mampukah anak-anak itu?

Panjang lebar berceloteh. Ada juga terfikir, patutkah saya mengisytiharkan kami sebagai tiada pendapatan supaya kami tergolong dalam golongan B40.

Wallahualam