PENDIDIKAN UMUM: Adab di dalam Kumpulan WhatsApp Sekolah

Ibubapa tahu tak, yang paling guru-guru ‘geruni’ bila mula tahun baru ialah menjadi pengurus kumpulan Whatsapp kelas? Tujuan asalnya memanglah untuk berkongsi perihal sekolah, aktiviti anak-anak dan perkara berbangkit sahaja. Namun, lazimnya, pasti akan ada penyalah-selenggaraan dari pihak-pihak tertentu.

Kumpulan sosial yang diwujudkan bukanlah untuk kepentingan individu. Saya bukanlah nak mengajar ibubapa, tetapi ikhlas nak beri cadangan berkenaan adab ber-Whatsapp.

Sebenarnya, banyak hal dan panjang-lebar penjelasan dan pengalaman yang hendak dikongsikan perihal kumpulan WhatsApp ini. Tapi, mungkin kita cuba faham antara perkara yang harus kita sama-sama renung, ingat, ambil pengajaran dan amalkan. Antaranya:

  • Jangan sentuh isu sensitive melibatkan agama, bangsa, bahasa dan politik. Kita masing-masing mempunyai pelbagai pendapat dan pandangan berbeza. Hormatilah hak orang lain. Kalau ada pendapat yang pada pandangan kita perlu disanggah ditegur, tegurlah dengan berhemah. Bila sudah ditegur atau sudah kita sampaikan dengan cara paling baik, cubalah untuk menerima pendapat individu lain. Bak kata omputeh ‘agree to disagree’.
  • Bila masuk kandang kambing cubalah mengembek, masuk kandang kerbau menguaklah. Kita semua menjadi contoh tauladan untuk anak-anak kita. Tunjuklah yang baik-baik. Kebolehan untuk mengadaptasi dengan situasi dan sesuatu yang baru adalah satu skil yang mahu kita terapkan pada diri anak-anak kita. Ini salah satu cara yang boleh kita tunjuk untuk menjadi panduan anak-anak.
  • Jangan kritik ibubapa dan pelajar lain. Juga, tolonglah jangan kritik guru-guru di dalam kumpulan yang belum tentu kita kenal semua ahlinya! Ajar anak-anak dan diri kita untuk berhusnuzon, bersangka-baik. Kadangkala, intonasi yang hendak disampaikan oleh seseorang dan kumpulan WhatsApp ini mungkin berbeza. Niat penulis mungkin hanya sekadar memberitahu, tetapi dibacanya kita dalam nada marah. Perkara ini pasti tak membawa apa-apa kebaikan jika dipanjangkan berlebih-lebihan. Yang lebih memburukkan keadaan jika ada antara ibubapa yang hanya mendengar kisah dari satu pihak dan terus membuat kesimpulan sendiri. Kadang-kadang, kita kena saling ingat-mengingati supaya tak salah membuat tafsiran sendiri. Jika ada konflik dan sebagainya, dengarlah kisah dari semua pihak, bukan hanya daripada anak-anak atau satu pihak sahaja.
  • Kumpulan Whatsapp itu bukan tempat luahan rasa kita, bukan untuk membawang. Itu bukan caranya. Kumpulan WhatsApp bukan tempatnya. Jangan sampai nanti kita sendiri yang membuka pekung di dada kita, kita sendiri yang mendedahkan aib dan kejahilan diri sendiri. Kalau ingin berkongsi perkara-perkara tertentu, nilaikanlah terlebih dahulu. Perlukah? Betul dan sahihkah? Benar dan boleh dipercayaikah sumbernya? Bermanfaatkah untuk perkongsian ramai? Fikir sebelum berkongsi, supaya tak menyesal di kemudian hari.
  • Rumpun kita rumpun beradab. Banggalah dengan budaya turun-temurun itu. Jagalah adab. Ingin sekali lagi saya tekankan. Kita cermin tauladan untuk anak-anak. Cantik adab kit, indahlah adab anak-anak.

Hadis Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda, yang bermaksud : “Sesungguhnya ada seorang hamba yang berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dipikirkan bahayanya terlebih dahulu, sehingga membuatnya dilempar ke neraka dengan jarak yang lebih jauh dari pada jarak antara timur dan barat.” (Sahih Muslim)

Juga,untuk renungan bersama : Hadis Abu Hurairah, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia mengganggu tetangganya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tamunya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam saja.” ( Sahih Bukhari)

Perbetulkan niat kita, untuk kebaikan anak-anak. Jangan pentingkan diri sendiri. Jangan sampai teknologi yang sepatutnya digunakan sebaik mungkin menjadi lubuk dosa tanpa kita sedari.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s