PENDIDIKAN UMUM: Kuasa Di Hujung Jari, VIRAL!

Kebanyakkan kita sudah sedia maklum berkenaan firman Allah didalam Surah Al-Hujurat and maksudnya:-

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

Manusia atau insan itu sendiri asal katanya dari perkataan na-sii-ya yang bermaksud lupa. Sebanyak mana pun kita mengingati dan diperingatkan, terkadang masih ramai antara kita yang terlepas pandang dan masih ramai jaga yang tidak teringat adab dan tatasusila bermanusia. Malah, ada juga yang faham dan tahu, namun tidak mahu beradab seperti manusia yang sudah Allah kurniakan akal fikiran yang waras.

Kita tidak mampu untuk menongkah arus menolak teknologi yang ada masa kini. Sosial media, dalam banyak yang faham dan jelas keburukan dan permasaalahan yang timbul dek kerana sosial media, masih ramai yang menggunakan dan memerlukannya untuk kehidupan harian. Kita sedia faham, apa-apa perkara sekali pun, yang dibuat berlebihan pastinya akan mendatangkan penyakit. Penyakit itu datang sebagai ujian, sebagai fitnah kehidupan. Perbanyakkanlah ilmu supaya kita tidak terlalu leka membiarkan nafsu beraja dan tergolongan di antara karib musuh kita, si syaitannurrojim.

Kuasa viral di kalangan masyarakat kita kini sudah menjadi-menjadi dewasa ini. Tidak semua berita yang ditular itu membawa kepada keburukan, tetapi umum sendiri dapat menilai betapa banyak khilaf dan salah-faham, persengketaan dan permusuhan, keregangan hubungan hingga terputusnya silaturrahim sesama manusia disebabkan viral. Hanya dengan satu klik di hujung jari kerdil, pelbagai kerosakan yang lahir bila manusia silap menilai.

Fikirlah sewarasnya sebelum kita membuat sesuatu perkara atau keputusan yang akhirnya membawa padah pada diri sendiri. Ianya bukanlah sesuatu yang sukar. Saya ingin berkongsi lima ‘fasa tahu’ yang mungkin dapat membantu kita dalam membuat keputusan dalam menilai perlu atau tidak sesuatu berita atau cerita dijadikan perkongisian umum. Mencegah itu pastinya lebih baik daripada mengubati.

1.Fasa Tidak Tahu

Apabila tiba sesuatu berita ke pengetahuan kita, jangan mudah melatah dan terus mahu menyumpah. Jangan terusan mahu dikongsi segala kisah, atas niat yang salah. Sekurang-kurangnya, bila diberi jalan hidayah mendapat perkhabaran tersebut, telitilah perihal berita itu, adakah ianya berita berbentuk cerita yang memang memerlukan perhatian atau ilmu non-fiksyen yang mungkin hanya untuk segolongan pihak sahaja. Perlu kita faham konteks yang hendak disampaikan supaya mudah kita menyalurkan perkongsian kita di saluran yang betul.

2.Fasa Ambil Tahu


Siasatlah kesahihan berita tersebut. Kajilah sumber dan asal berita itu. Segala kisah pastinya bukan hanya melibatkan satu pihak sahaja. Jika ianya berita berbentuk perkongsian ilmu, siasat sumber dan fakta ilmu yang dikongsi. Boleh jadi yang si penulis pada asalnya hanya sekadar berkongsi buat peringatan dan kenangan diri sendiri, tetapi disalahfahamkan bila yang membaca tidak mahu ambil peduli latarbelakang berita tersebut. Jika ternyata berita yang sampai itu hanya sekadar cereka yang rekaan semata, walaupun cara penceritaannya menarik perhatian pembaca, simpan sahaja berita itu untuk kenangan kita sendiri, tak perlu dikongsi.

3.Fasa Mahu Tahu

Bila terbukti kesahihan berita yang kita terima, nilailah pula adakah perlu untuk kita berkongsi perihal tersebut. Memang sepatutnya perkara bagus dan bermanfaat dikongsikan untuk sama-sama kita mengambil iktibar, peringatan dan panduan untuk meneruskan kehidupan sehari-harian. Namun, jika berita itu, walaupun benar dan sahih sumbernya, fahamkan pula niat dan keperluan untuk berkongsi kisah tersebut. Jika sekadar hanya berkongsi kerana ia tidak membawa sebarang manfaat atau tidak juga membawa mudarat, tak perlulah dikongsikan. Simpan sahaja buat kenangan persendirian.

4.Fasa Perlu Tahu

Kalau ada keperluan untuk kita berkongsi sesuatu berita, kajilah pula audience atau kumpulan yang mungkin akan mendapat manfaat yang lebih daripada perkongisian kita itu. Jangan terus melulu hendak dikongsi pada semua lapisan masyarakat dan dunia. Seringkali, akibat ghairah mengejar share dan like yang banyak, kita terlupa motif asal perkongsian kita itu. Kajilah jika perkongisian itu hanya sekadar renungan dan pengajaran buat kaum kerabat dan kenalan terdekat atau harus umum mengetahui untuk kebaikan atau mengelakkan kemudaratan orang ramai. Niatlah di dalam hati agar perkongsiaan itu menjadi simpanan berguna di kala amal kita dihisab nanti. Ilmu bermanfaatlah antara amal-amal yang tiga yang kita harapkan bila habis nyawa kita di alam kehidupan ini.

5.Fasa Ikut Tahu

Di peringkat ini, kalau salah informasi yang kita kongsi, mungkin jalan penyelesaian adalah memohon maaf dan bertaubat. Jika silap sehinggakan kita hampir atau sudah menganiaya insan lain sebab perkongsian kita, takut nanti banyak masalah yang mendatang. Masalah perhubungan, perundangan dan sebagainya. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Sesal dahulu, pendapatan; Sesal kemudian, tiada gunanya

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:  “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipudaya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibhidah ? maka baginda SAW menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”.

Jauhkanlah diri kita daripada golongan fasik dan menjadi fasik. Jangan buat perkara-perkara yang menjuruskan kita menjadi sebahagian daripada golongan al-Ruwaibhidah. Niatkan semuanya untuk Allah, demi menjaga nama Islam yang suci dan mempertahankan cinta kita pada Rasulullah SAW yang bermati-matian berjuang untuk Islam sampai ke kita. Jangan sampai perkara yang kita kongsikan di media sosial menjadi asbab timbulnya fitnah, ghibah dan pelbagai tohmahan buruk kepada manusia lain dan agama Allah ini.

Moga kita semua diberi kefahaman ilmu dan dapat mengamalkan sebaik mungkin. Dan sama-samalah kita mencuba untuk tahu segala perihal dan aspek sebelum hendak kita kongsikan sesuatu berita. Wallahualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s