Pendidikan: Drama ke Asrama

Saya rasa perlu untuk menitipkan sedikit nota berkenaan pengumuman Menteri Pendidikan berkenaan anak-anak B40 akan diberi keutamaan dalam kemasukan ke sekolah berasrama penuh, SBP.

Sebagai seorang ibu yang kiasu dan mementingkan diri demi untuk memberi pendidikan terbaik buat anak-anak, saya agak ‘gusar’ dengan pengumuman itu. Ramai ibubapa yang ‘merintih’ berkeluh kesah apabila anak-anak mereka yang telah berhempas-pulas menduduki UPSR tahun ini, mendapat keputusan cemerlang 6A atau 5A tetapi tidak terpilih untuk mendapat tempat di SBP. Sebaliknya, kawan-kawan mereka yang hanya mendapat 2A atau 3A yang berjaya menjejaki kaki ke asrama. Adilkah itu? Salahkah anak-anak golongan M40 dan T20 (atau untuk memudahkan bicara, kita gelarkan mereka ‘golongan bangsawan’) dilahirkan di dalam keluarga yang diberi sedikit rezeki dari Ar-Razak? Patutkah ‘dianiaya’ anak-anak yang sudah berusaha sedaya boleh untuk mendapat keputusan cemerlang tetapi tak layak ke SBP kerana latar belakang keluarga mereka?

Saya mula membaca piagam pendidikan negara, falsafah dan objektif SBP.  


Ternyata, tujuan utama SBP ditubuhkan adalah untuk kemudahan yang teratur dan sempurna. Ya, saya sangat bersetuju dengan KPM. Seharusnya, asrama adalah untuk mereka yang layak dan tidak berkemampuan untuk menyediakan pendidikan yang kondusif bagi anak-anak. Persoalannya, adakah anak-anak yang terpilih itu LAYAK? Jika benar, apakah sebenarnya KELAYAKAN yang diletakkan sebagai batu pengukur? Saya akui, anak-anak di bawah B40 seharusnya diberikan keutamaan untuk terpilih ke SBP jika keputusan mereka secemerlang kawan-kawan mereka yang datang dari golongan bangsawan. Saya juga setuju yang kelonggaran dari segi keputusan akademi harus diberi pertimbangan dimana pencapaian anak-anak B40 yang mendapat 4A mungkin sama taraf dengan dengan anak-anak golongan bangsawan yang mendapat 6A. Ini kerana, mungkin anak-anak B40 tidak mampu mendapat pendidikan tambahan dan keputusan yang mereka capai semata-mata datang dari hasil usaha mereka tanpa kelas tambahan atau sebagainya. Namun, wajarkah mereka yang mendapat 2A atau 3A diberi tempat ke SBP berbanding kawan-kawan mereka yang mendapat 5A atau 6A? Maaf, saya mungkin tidak sensitif dalam membicarakan perihal ini, tetapi saya masih belum jelas dengan objektif keseluruhan yang hendak KPM capai.

Jika anak-anak B40 yang mendapat 2A atau 3A ini terpilih, mampukah mereka mengadaptasi sebaik mungkin cara pembelajaran di asrama? Atau akan merundumkan keputusan pelajar-pelajar SBP disebabkan kemampuan mereka yang ada batasnya? Saya bukan hendak mencabar atau memandang rendah anak-anak ini. Saya percaya pendidikan adalah untuk semua, terutama sekali pendidikan yang lengkap dan terbaik, wajib menjadi hak buat semua anak-anak tak kira bangsa, agama dan kedudukan sosio-ekonomi keluarga. Itulah yang sepatutnya KPM titik-beratkan buat masa ini. Sekolah kluster, sekolah integrasi dan sebagainya tidak sepatutnya diwujudkan. Semua sekolah sepatutnya mendapat kemudahan dan sokongan yang sama. Semua sekolah patut menjadi sekolah kluster, sekolah intergrasi dan sebagainya. Mungkin dengan itu, tidak ralat untuk ibu bapa mendaftarkan anak-anak ke sekolah harian.

Bukan salah anak-anak dilahirkan dalam golongan bangsawan. Bukan salah anak-anak terpilih ke asrama kerana kedudukan sosio-ekonomi keluarga. Semuanya ada peranan masing-masing. Sekolah adalah tempat menimba ilmu. Sekolah yang lengkap kemudahannya dan yang bagus tenaga pengajarnya pastinya akan melahirkan pelajar-pelajar hebat. Cuma mungkin KPM ingin menilai semula objektif SBP. Mengapa hanya sekolah berasrama penuh sahaja yang mendapat fokus kemudahan teratur dan sempurna? Mengapa tidak sekolah harian juga? Dan mungkin KPM juga ingin mengkaji semula kelayakan anak-anak yang terpilih yang seharusnya fokus bukan sahaja pada pendapatan keluarga, juga keputusan yang kalau tak cemerlang pun, sekurang-kurangnya setara dengan keputusan yang cemerlang. Kalau mendapat 2A untuk pemahaman dan penulisan sedangkan matapelajaran sains dan matematik tidak cemerlang, tetapi terpilih untuk ke sekolah sains, mampukah anak-anak itu?

Panjang lebar berceloteh. Ada juga terfikir, patutkah saya mengisytiharkan kami sebagai tiada pendapatan supaya kami tergolong dalam golongan B40.

Wallahualam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s